IPOH - Jabatan Audit Negara mengadakan perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menyelesaikan masalah ketidakseragaman terhadap hasil siasatan isu punitif oleh Jawatankuasa Siasatan dan Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang ditubuhkan di peringkat Persekutuan dan negeri.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad berkata, Jabatan Audit Negara menganalisa maklumat diberikan JPA berkaitan status tindakan tatatertib dan teguran punitif di peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan anak syarikat kerajaan negeri.

"Hasil analisa mendapati tindakan diambil terhadap kesalahan itu, dilaporkan berlakunya ketidaksetaraan dengan keseragaman berbeza mengikut negeri walaupun terhadap kesalahan sama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Setiausaha-setiausaha Kerajaan Negeri mengenai tindakan terhadap isu laporan Ketua Audit Negara yang dirasmikan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, di sini hari ini.

Justeru, Madinah berkata penganjuran persidangan yang julung kali diadakan selama dua hari itu adalah antara mekanisme proaktif untuk meminimumkan perbezaan yang berbangkit antara syor jawatankuasa siasatan di peringkat negeri dengan persekutuan ataupun antara negeri.

Persidangan itu diadakan bagi membincangkan penekanan berkesan terhadap tindakan yang boleh dilaksana oleh setiap Setiausaha Kerajaan  turut dikongsi bersama-sama dengan 104 peserta yang terdiri daripada 13 SUK negeri unit audit dalam unit integriti, penasihat undang-undang dan perkhidmatan awam negeri.

Dalam pada itu, Madinah berkata, Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2016 Siri 1 yang dijangka dibentang di Parlimen hujung bulan ini masih tetap mengandungi elemen kecuaian, tatatertib, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, salah laku dalam kalangan kakitangan kerajaan.

Beliau berkata, setiap penemuan audit dilaporkan kepada pegawai-pegawai agensi berkenaan, selaras dengan peranan juru audit dalam menjalankan tugas pengauditan secara profesional.

“Laporan adil dan seimbang akan dibentangkan pada Parlimen nanti bertujuan menjamin akauntabiliti pengurusan. Laporan itu adalah bukti dan tanggungjawab jabatan dalam menyahut peranan yang diberikan kerajaan bagi memerangi rasuah dan penyalahgunaan dana awam di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Zambry berkata, persidangan itu merupakan platform terbaik untuk Jabatan Audit Negara dan negeri-negeri merapatkan jalinan kerjasama selain mempelajari banyak perkara berkaitan.

“Kami di Perak membuka pintu seluas-luasnya untuk sama-sama berkongsi pengalaman dan kepakaran. Tindakan susulan membuahkan hasil dapatan audit akan menjadi bermakna jika kita menerimanya dengan terbuka dan membuat tindakan susulan,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Perak memandang serius setiap teguran serta hasil audit sama ada oleh Jabatan Audit Negara atau audit dalaman negeri dan menjadikan ia pemangkin kepada tadbir urus yang baik, sekali gus menyokong penambahbaikan sistem penyampaian.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mesyuarat Kewangan Negara baru-baru ini memuji langkah proaktif Perak dalam mengutip hasil-hasil tertunggak negeri termasuk melaksanakan perubahan sistem kutipan cukai oleh Pejabat Tanah dan Galian.

“Selain itu, melalui Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) yang telah diaktifkan semula pada tahun 2012, Perak berjaya menguruskan hasil mineral dengan lebih efektif dan mengurangkan banyak ketirisan sebelum ini.

“Semua kejayaan itu tidak akan dicapai tanpa pemantauan dan menilai semula setiap pelaksanaan untuk diperkemas. Memanfaatkan audit sememangnya terbukti dapat membantu mengawal ketirisan, meningkatkan pendapatan dan membantu kelancaran pelaksanaan projek untuk rakyat,” katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.