PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Imigresen, Datuk  Seri Mustafar Ali semalam menjelaskan surat Jabatan Imigresen kepada Kementerian Pendidikan adalah berhubung keperluan pasport dan dokumen perjalanan bagi kanak-kanak warga asing untuk berada di Malaysia.

Beliau berkata, surat penjelasan bertarikh 28 Disember itu adalah untuk menjawab persoalan dikemukakan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan dan bukannya surat pekeliling.

“Surat bertarikh 28 Disember itu adalah surat balasan kepada Kementerian Pendidikan berhubung pertanyaannya sebelum ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Baru-baru ini, portal berita melaporkan beberapa kanak-kanak tanpa warganegara di Pulau Pinang dilarang memasuki persekolahan berikutan ‘surat pekeliling’ yang dikeluarkan Jabatan Imigresen.

Mustafar berkata, pada  28 November lalu, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan telah menghantar surat untuk mendapatkan penjelasan, sama ada kanak-kanak dilahirkan di dalam dan luar negara memerlukan pasport atau dokumen perjalanan sah untuk belajar di sekolah di bawah kementerian.

Pada 28 Disember lalu katanya, pihaknya  membalas surat tersebut dengan memberi penjelasan bahawa kanak-kanak asing yang lahir di dalam atau di luar Malaysia memerlukan pasport sah mengikut negara masing-masing bagi membolehkan satu pas dikeluarkan untuk tujuan berada dan tinggal dalam Malaysia.

Dalam surat itu, Jabatan Imigresen juga menjelaskan hanya kanak-kanak bertaraf warganegara Malaysia tidak memerlukan pasport untuk berada di Malaysia.

Mustafar berkata, surat tersebut juga menyatakan kanak-kanak yang berstatus bukan warganegara, tetapi telah memohon taraf warganegara tetap memerlukan pasport mengikut negara masing-masing sehinggalah mendapat taraf warganegara Malaysia. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Kaunter pasport di sembilan Pejabat Jabatan Imigresen akan ditutup sementara untuk memastikan proses pemasangan Pilot Pasport Malaysia Antarabangsa dengan muka surat Polikarbonat Bercip berjalan lancar.