PASIR MAS - Keluarga Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi mempertahankan tindakan pegawai perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) itu yang membuat kenyataan terbuka berhubung isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Bapanya, Mohamed Nawawi Mohamad Zain berkata, kenyataan tersebut merupakan satu mesej dakwah yang ingin disampaikan oleh anaknya kepada masyarakat.

"Saya lihat kenyataan itu telah membuka mata masyarakat berkaitan dengan isu berkenaan.

"Sebagai bapa saya bangga dengan keberaniannya menyatakan perkara benar walaupun ia agak pahit untuk diterima oleh sesetengah pihak," katanya.

Menurutnya, dia berharap kerajaan tidak mengenakan sebarang tindakan terhadap anaknya itu.

Katanya, kenyataan itu dibuat berdasarkan kepada pengalamannya bertugas sebagai doktor selain ia bercanggah dengan agama Islam.

Mohamed Nawawi yang juga Pegawai Dakwah Halaqah berkata, dia berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang berdiri teguh dan menyokong anaknya.

Katanya, sokongan itu menjadi azimat buat Dr Nur Ilyani dan keluarga untuk mengharungi dugaan tersebut.

"Buat masa ini anak saya sedang bercuti di Terengganu," katanya.

Sebelum ini, Dr Nur Ilyani menulis surat secara terbuka kepada aktivis masyarakat, Datin Marina Mahathir yang mendesak agar LGBT diberikan hak kesamarataan dari sudut hak asasi hingga mendapat perhatian netizen.

[ARTIKEL BERKAITAN: Petisyen solidariti untuk Dr Nur Ilyani diwujudkan]

[ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara utus surat kepada Marina, doktor diadu kepada BPA]

[ARTIKEL BERKAITAN: Nasib Dr Nur Ilyani belum diputuskan]