KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shukri Abdull tiba ke Menara Ilham, di sini, untuk bertemu Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

Shukri tiba bersama pegawainya kira-kira jam 10.40 pagi tadi dipercayai berhubung dakwaan transaksi tanah meragukan di ibu negara yang didakwa berlaku ketika pentadbiran kerajaan lalu.

Difahamkan, pertemuan itu susulan penyerahan hasil siasatan pihak Tun Daim mengenai isu berkenaan untuk siasatan lanjut pihak SPRM.

Shukri dilihat keluar dari pekarangan Menara Ilham pada jam 11.25 pagi. Bagaimanapun usaha pengamal media yang menunggu di perkarangan menara tersebut untuk mendapatkan kenyataan Shukri gagal.

Semalam, akhbar tempatan melaporkan Tun Daim akan bertemu SPRM susulan siasatan pihak beliau mendapati sekurang-kurangnya terdapat transaksi 91 lot tanah yang meragukan.

Tun Daim dilaporkan berkata transaksi tanah meragukan di ibu negara itu dikatakan berkait rapat dengan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta tanah bagi projek Bandar Malaysia.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh membuat laporan bagi menggesa SPRM menyiasat penjualan 64 lot tanah dibuat DBKL antara 2014 hingga 2018.

Laporan itu antara lain turut menggesa pengurusan tertinggi Yayasan Wilayah Persekutuan yang didakwa terbabit dalam pembelian tanah itu disiasat SPRM.