SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menegaskan sistem perlindungan kanak-kanak sedia ada telah gagal melindungi golongan berkenaan susulan kes-kes penderaan kanak-kanak di sekolah tahfiz yang berulang kembali.

Pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail berkata, kes terkini melibatkan tuduhan gangguan seksual terhadap sembilan pelajar lelaki oleh pengetua sekolah tersebut.

Menurutnya, kurang tiga minggu lalu, seorang pelajar lelaki sekolah tahfiz di Kuantan yang berumur lapan tahun telah didera oleh oleh gurunya yang telah mengugut untuk memotong kemaluannya.

“Pada bulan Julai tahun ini, seorang guru sekolah tahfiz yang berlainan telah ditangkap atas tuduhan gangguan seksual terhadap seorang kanak-kanak.

“Kerajaan tidak boleh menganggap kes sebegini sebagai kes terpencil dan sekolah-sekolah ini tidak boleh lagi dibiarkan tanpa pemantauan dengan alasan ia merupakan sekolah swasta atau persendirian,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Liwat 9 pelajar, pengetua tahfiz ditahan]

[ARTIKEL BERKAITAN: Cucuh api dan ugut potong kemaluan budak tahfiz]

[ARTIKEL BERKAITAN: Lima kali jadi mangsa guru tahfiz]

Razali berkata, Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat (KPWKM) dilihat gagal menjalankan tugas untuk memastikan keselamatan kanak-kanak dan Kementerian Pendidikan tidak mengambil tindakan sewajarnya bersama-sama dengan kementerian yang bertanggungjawab terhadap kanak-kanak bagi memastikan keselamatan dan perlindungan mereka terutamanya kanak-kanak di sekolah tahfiz.

Menurutnya, kedua-dua Kementerian dan kerajaan baru gagal untuk memenuhi standard perlindungan kanak-kanak dan seolah-olah tidak mengambil iktibar daripada keburukan yang telah berlaku untuk penambahbaikan isu-isu ini pada masa hadapan.

“Kita menasihatkan agar struktur perlindungan kanak-kanak yang diwarisi dari kerajaan terdahulu tidak dijadikan alasan ketidakgiatan yang berterusan.

“Melihat kepada peningkatan pelbagai insiden-insiden penderaan kanak-kanak dan apa yang boleh dilihat sebagai ketidakbolehan KPWKM untuk menangani perkara ini,” katanya.

Menurutnya, Suhakam kekal dengan pandangan bahawa seharusnya satu kementerian yang berasingan diwujudkan untuk kanak-kanak memandangkan wanita dan kanak-kanak mempunyai keperluan dan isu-isu yang berbeza, yang mana ia memerlukan tampuk kepimpinan yang mempunyai kepakaran teknikal dalam promosi dan perlindungan hak kanak-kanak.

“Memandangkan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sedang dalam proses memperbaharui sistem pendidikan negara, Suhakam menyeru agar kementerian tidak mengenepikan sekolah tahfiz dan mengesyorkan agar sekolah-sekolah ini diwajibkan berdaftar dengan kementerian dan perlu mempunyai lesen untuk beroperasi.

“Pendaftaran juga akan memberikan jaminan kepada ibu bapa bahawa sekolah-sekolah ini memenuhi pelbagai standard yang ditetapkan oleh kementerian,” katanya.

Razali berkata, kanak-kanak semakin terdedah kepada pelbagai bahaya di dalam Malaysia Baharu.

“Kepentingan kita serta keengganan kerajaan menerima kritikan dan mengelak kontroversi seharusnya tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak bertindak menangani isu-isu yang melibatkan kepentingan mereka,” katanya.

Menurutnya, Suhakam menerima dan menyokong sepenuhnya pendidikan tahfiz.

“Suhakam percaya bahawa kepelbagaian sekolah di negara ini mencerminkan kemajmukan rakyat Malaysia, dan memenuhi pilihan serta kehendak sesetengah ibu bapa.

“Namun demikian, peningkatan bilangan sekolah-sekolah tahfiz yang tidak dipantau amat membimbangkan dan seharusnya sekolah-sekolah ini tidak boleh dibiarkan beroperasi selagi tidak mematuhi piawaian atau peraturan keselamatan dan kesihatan,” katanya.

Menurutnya, sekolah tahfiz juga perlu mempunyai dasar untuk menyaring bakal kakitangan dan guru-guru yang berniat untuk berkecimpung dalam pekerjaan yang melibatkan kanak-kanak bagi menilai sama ada mereka mempunyai risiko untuk melakukan keganasan fizikal atau seksual terhadap kanak-kanak.

“Jelas kelihatan bahawa tiada sebarang garis panduan atau dasar sebegini dilaksanakan oleh KPWKM ataupun Kementerian Pendidikan.