SHAH ALAM - Penstrukturan dan pengambilalihan Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (Splash) bakal dimuktamadkan menjelang 31 Julai ini.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, isu air antara perkara yang menjadi penumpuannya untuk diselesaikan selepas dilantik menteri besar yang baharu.

Katanya, penyelesaian isu tersebut dijangka menjadi mudah selepas Pakatan Harapan (Harapan) mengambil alih kerajaan pusat.

"Isu air antara fokus utama perbincangan saya dalam pertemuan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali petang ini. Kita akan muktamadkan atau paling tidak ada keputusan kukuh mengenainya.

"Sebelum ini terdapat perbedaan pandangan dan sikap antara kerajaan negeri dan pusat (BN) berhubung perkara ini, namun selepas Harapan menang peringkat pusat maka keserasian akan dicapai mengenai perkara itu," katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Beliau memulakan tugas sebagai menteri besar selepas mengangkat sumpah menerima jawatan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, semalam.

Splash satu-satunya syarikat konsesi air yang belum diambil alih oleh kerajaan negeri susulan tiada kata sepakat dicapai mengenai tawaran harga antara kedua belah pihak.