ISU Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masih tidak berkesudahan.

Malah ia juga kembali menjadi perdebatan hangat netizen di laman sosial Facebook apabila Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menyatakan pendirian beliau berhubung perkara itu apabila mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membidas sikap tidak jujur PTPTN yang enggan membayar hutang.

Disebabkan keengganan itu menyebabkan hutang tekumpul yang tidak dibayar sebanyak RM36 bilion.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tun M malu peminjam PTPTN tak jujur]

[ARTIKEL BERKAITAN: PTPTN: Nik Nazmi bidas kenyataan Mahathir]

Seorang pelayar, Abdul Manaf Ahmad mempersoalkan, siapakah yang menghasut peminjam selama bertahun tahun supaya jangan membayar hutang PTPTN semasa BN berkuasa dahulu, kalau bukan pemimpin PH sendiri.

"Sekarang marah pula kata tak tahu malu.  Sepatutnya atok (Tun Dr Mahathir Mohamad) yang tak tahu malu. Manifesto kata hapus hutang PTPTN, kenapa tidak hapus sekarang sedangkan PH sudah berkuasa. Saya syorkan peminjam PTPTN jangan bayar biar, atok bayar hutang semua itu," tulisnya.

Alias Pokyah pula berkata, dia pun berasa malu kerana janji penghapusan PTPTN tidak ditunaikan oleh kerajaan sekarang sebagaimana perjanjian dalam manifesto sebelum ini.   

"Malu lagi, apabila keluar kenyataan peminjam (yang) berpendapatan RM4,000 baharu dibenarkan membuat pembayaran. Akhirnya ditarik balik dan didaftarkan dan disenarai hitamkan pula. Lebih malu kerajaan baru lebih fokus pada isu Datuk Seri Najib (DSN).  Dan mengabaikan ekonomi yang dilaung-laungkan tenat," tulisnya.   

Nizarman Razak pula berkata, pengajaran untuk semua, apabila nak berjanji tengok kemampuan diri, ukur baju di badan sendiri, namun demi meraih undi mereka sanggup janji bukan-bukan.

Namun, ada juga kalangan pelayar tidak bersetuju dengan pendapat tersebut,  kerana peminjam yang berkemampuan perlu bayar sahaja hutang pinjaman tersebut tanpa memberikan pelbagai alasan.

Antaranya, Chia Hui Yeong berpendapat, bagi golongan yang mampu tetapi degil enggan bayar hutang PTPTN yang patut berasa malu.

"Saya rasa ramai yang cuba cari alasan untuk tidak bayar balik, bukan mereka tidak mampu, RM4000 hanya alasan, siapa kata gaji dua-tiga ribu tidak mampu nak bayar? Mesti jadikan satu displin dan kebiasaan untuk bayar balik hutang.

"Kalau tidak ada kerja, itu boleh dikecualikan. Tetapi kalau sudah bekerja, walaupun gaji tidak tinggi, bayar balik sekadar RM50 sebulan pun jadilah, yang penting ada displin dan hasrat untuk bayar balik hutang. Apabila gaji naik, baru bayar lebih sikit, takkan itu pun tak boleh?," katanya.

Perkara itu disokong Tam Mohammad, kerana Perdana Menteri bukan tuju kepada semua.   

"Sudah pinjam dan habis belajar bayar jelah. Bukan susah pun, kalau tidak mampu bayar dengan amaun masa dalam perjanjian awal.  Pergi ke PTPTN buat perjanjian baharu. Cakap nak bayar dengan nilai sekian-sekian. bukan susah pun sebab RM50 sebulan pun boleh bayar.

Tulisnya lagi, jangan memberi pelbagai alasan kerana mereka yang beralasan itu mampu berjalan sana sini dan membeli itu ini, tetapi tidak mampu membayar hutang pelajaran.  

Mohdali HT mula memberi cadangan, agar menolak bil astro sebulan, prepaid sebulan dan kurangkan makan makananan segera, RM100  sebulan pasti mampu dibayar.         

Bagi Salwani Saba pula, mencadangkan agar peminjam bayar sahaja hutang itu.

"Nama pun pinjaman. Dulu semasa sain (tandatangan surat perjanjian), setuju.  Elok blacklist (senarai hitam) sahaja mereka semula.  Fikir-fikirlah bakal-bakal pelajar baharu yang nak pinjam," tulisnya.