Datuk Seri Noh Omar
Datuk Seri Noh Omar

TANJONG KARANG - Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata beliau hanya akan mendedahkan bukti mengenai penyelewengan pasir di negeri itu jika kerajaan negeri mengadakan 'perbicaraan terbuka'.

Beliau berkata, langkah itu perlu kerana Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) yang sepatutnya menyiasat isu tersebut masih gagal menyelesaikannya,
meskipun telah menerima laporan sejak setahun lepas.

"Selcat wajar digunakan sejajar dengan penubuhannya yang bertujuan untuk mencari kebenaran berhubung sesuatu isu yang timbul. Namun apa yang dilihat pada hari ini Selcat hanya ditubuhkan untuk kepentingan politik kerajaan negeri.

"Kalau merasakan Selcat tidak mampu selesaikan isu itu, kerajaan negeri harus tubuhkan mahkamah rakyat (terbuka) dan saya akan hadir serta bawa enam saksi yang sanggup kemuka bukti mengenai kegiatan penyelewengan pasir di Selangor," katanya, di sini hari ini.

Beliau yang ditemui pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diminta mengulas mengenai cabaran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mahu Noh mendedahkan bukti penyelewengan terbabit.

Terdahulu Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Agama Tanjong Karang di sini.

Noh ketika berucap pada majlis itu mengumumkan peruntukan RM100,000 bagi menaik taraf infrastruktur di sekolah berkenaan termasuk bilik guru dan surau serta RM15,000 kepada PIBG sekolah terbabit. - Bernama


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.