SHAH ALAM - Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mahukan siasatan dibuat berhubung dakwaan monopoli bekalan ubat-ubatan di Malaysia dan kemungkinan wujudnya unsur rasuah dalam kontrak yang diberikan.

Menurutnya, beliau telah menerima aduan dan maklumat daripada orang awam mengenai dakwaan tersebut.

“Pada 13 Jun, saya telah dimaklumkan terdapat dakwaan rasuah dalam kontrak tender perubatan di Kementerian Kesihatan dari tahun 2013 sehingga 2016 yang bernilai RM3.7 bilion.

“Banyak aduan kepada saya tentang harga ubat yang tinggi dan kita telah membandingkan dengan negara lain untuk ubat sama dan mendapati harga di Malaysia lebih 30 peratus hingga 148 peratus,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, hari ini.

Beliau berkata, jika difokuskan dengan kes pesakit yang menghidapi barah, berdasarkan kajian kerajaan, seorang daripada 10 lelaki akan menghidap kanser dan seorang daripada sembilan wanita akan menghidap kanser di Malaysia.

Katanya, itu adalah angka daripada tahun 2011 dan sekarang sudah tahun 208. Jumlah itu mungkin berbeza.

“Bila lihat harga ubat kanser ia mencecah RM2,000 hingga RM9,000 dan sekarang kita tahu mengapa harga ubat itu mahal,” katanya.

Katanya, hari ini, beliau telah menyerahkan dokumen dengan 150 muka surat berhubung isu monopoli ini yang dikatakan dikawal tiga syarikat ejen membabitkan pegawai tinggi kerajaan di Kementerian Kesihatan, ahli politik dan saudara-mara ahli politik.

Menurutnya, tindakan ini secara terang melanggar undang-undang SPRM yang menyalahkan gejala pemberian rasuah dan penyalahgunaan kuasa pegawai kerajaan.

“Saya mohon agar SPRM menyiasat siapa syarikat, pegawai dan jumlah komisen serta perkara berkaitan dalam isu monopoli ini,” katanya.