KUALA LUMPUR - Naib Presiden Pas, Idris Ahmad meluahkan rasa kurang senang dengan kenyataan Menteri Agama yang baru, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berhubung isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT), semalam.

Beliau memuat naik kenyataan itu dalam laman sosial Facebook miliknya mempertikaikan peranan kerajaan dalam menjaga agama Islam dan rakyat negara ini.

Menurut bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, matlamat ‘Amar Makruf Nahi Mungkar’ (amalkan perkara baik, jauhi perkara mungkar) tidak akan tercapai tanpa ada kuat kuasa dan pencegahan.

“LGBT berdosa, kalau buat juga, dosa dengan ALLAH. Rasuah berdosa, kalau buat juga, dosa dengan ALLAH. Dadah berdosa, kalau buat juga, dosa dia dengan ALLAH. Arak berdosa, kalau buat juga dosa

dengan ALLAH. Zina berdosa, kalau buat juga dosa dia dengan ALLAH.

[ ARTIKEL BERKAITAN: LGBT di sisi undang-undang negara ]

“Kalau begitu apa tanggungjawab pemerintah? Di mana kitab Amar Makruf Nahi Mungkar? Kalau alasan seperti ini, maka negara tidak perlu undang-undang.

“Cukup anggap dosa dengan ALLAH sahaja. Tunggu balasan di akhirat sahaja,” menurut kenyataan itu.

Tambah beliau, kerajaan harus mengutamakan kepentingan menjaga kesejahteraan dunia dan akhirat, bukan menjaga kemahuan manusia dan sokongan politik apatah lagi ia bertentangan dengan agama.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Isu LGBT: Tiada tindakan jika tak lakukan jenayah ]

“Konsep Amar Makruf dan Nahi Mungkar datang dengan satu pakej. Ia tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Di samping didik dan dialog, undang-undang dan pencegahan mesti dijalankan serentak.

“Matlamat Amar Makruf Nahi Mungkar tidak akan tercapai tanpa ada kuat kuasa dan pencegahan. Inilah tugas pemimpin kena menjaga agama dan rakyat untuk kesejahteraan dunia dan akhirat.

“Bukan hendak jaga kemahuan manusia dan sokongan politik semata-mata walaupun bertentangan dengan konsep Amar Makruf Nahi Mungkar,” ujarnya.

Idris turut menyelitkan pesanan Imam Al-Ghazali iaitu ‘Agama asas, pemimpin penjaga’ dan menegaskan sesuatu yang tiada asas akan runtuh serta sesuatu yang tiada penjaga akan hilang.

“Nanti akan ada yang berhujah, ini qias maal mafariq (qias yang tidak betul). Kerana tidak memberi kepuasan kepada pihak mereka.  Terpulanglah. Wallahuaklam,” tegasnya.