KOTA KINABALU - Insiden pencerobohan oleh kumpulan pengganas di Lahad Datu dan Semporna memberi kesan yang sangat besar kepada politik, sosial dan ekonomi negara khususnya negeri Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin.
   
Beliau berkata tragedi itu sudah mengorbankan nyawa sepuluh orang anggota pasukan keselamatan negara, yang bukan sahaja menyebabkan anak kehilangan ayah, isteri kehilangan suami, ibu dan bapa kehilangan anak, tetapi juga akan kekal menjadi titik hitam dalam lipatan sejarah negara.
   
"Sesungguhnya kekejaman pengganas terhadap anggota keselamatan kita tidak mungkin akan kita lupakan sampai bila-bila.
   
"Hasil pengorbanan pahlawan negara ini seperti mana pada era darurat dan insurgensi telah memungkinkan kemajuan dan kemakmuran kita nikmati hingga hari ini. Pengorbanan mereka bukan sia-sia, pengorbanan mereka bukan kecil, pengorbanan mereka bukan untuk diperlekehkan," katanya.
   
Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program taklimat keselamatan 'Sabah Diceroboh: Kedaulatan Negara Dicabar' di sini hari ini.
 
Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Negeri Datuk Jainab Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Khas Ehwal Khas (JASA) Datuk Fuad Hassan dan Pengarah JASA Sabah Abdul Manap Lakariba.
   
Katanya program itu antara lain bermatlamat memberi penjelasan mengenai sejarah Kesultanan Sulu serta tuntutan mereka ke atas beberapa wilayah di Sabah dan penjelasan mengenai Operasi Daulat.
   
Beliau berkata insiden keganasan itu memberi pengajaran kepada semua tentang pentingnya menjaga dan memelihara keamanan dan keselamatan.
   
"Keamanan dan kestabilan yang berpanjangan tidak harus menjadi sebab ketumpulan tahap kita berwaspada. Sebagai seorang bekas anggota keselamatan, saya merasa dukacita terhadap penghinaan yang dilemparkan ke atas pasukan keselamatan kita.
   
"Tanpa anggota keselamatan yang menjaga keamanan negara sudah pasti negara kita tidak akan menikmati keamanan seperti sekarang ini," katanya.
   
Oleh itu, Yahya membidas pihak tertentu yang cuba untuk memperkecilkan sumbangan anggota keselamatan dan seterusnya mengingatkan mereka supaya belajar mengenang budi.  - Bernama