KEIKHLASAN dan ketelusan dalam pemberian bantuan adalah dua isu yang penting dalam membincangkan konsep governans dan integriti. Oleh kerana ia melibatkan dua pihak, iaitu pihak penyumbang dan pihak penerima maka kedua-dua isu ini mesti diberi perhatian.

Pihak penyumbang sama ada dari negara, institusi antarabangsa atau tempatan, pemimpin sesebuah negara atau mana-mana individu pasti mahu sebarang sumbangan sampai kepada kumpulan sasar atau tujuan bantuan menepati objektifnya.

Penerima pula yang mungkin terdiri daripada pihak kerajaan, institusi, pemimpin atau individu pula memastikan amanah yang diberikan kepada mereka dilaksanakan secara telus supaya tidak timbul isu yang boleh menjejaskan integriti mereka.

Dari semasa ke semasa banyak negara, NGO, pemimpin dan individu tertentu mendapat sumbangan daripada Arab Saudi. Malaysia tidak terkecuali. Selain daripada kerajaan, pemimpin dan pihak individu juga mendapat sumbangan derma daripada pemimpin Saudi.

Semasa saya menjadi tenaga pakar di Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACA) iaitu sebuah pusat pengajian tinggi mengenai rasuah di Austria, perkara ini pernah dibincangkan dengan beberapa pegawai pencegahan rasuah dari beberapa buah negara.  Pemberian sumbangan bukan dikategorikan rasuah sekiranya diberi secara ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan daripada pihak penerima.

Dalam perbincangan ini, tidak dapat dinafikan bahawa Arab Saudi adalah sebuah negara yang banyak memberikan sumbangan. Keikhlasan pihak Arab Saudi dalam memberi sumbangan jelas digambarkan melalui cara dan kaedah sumbangan diberi kepada pihak-pihak penerima.

Ada bantuan yang diberi oleh Arab Saudi secara terbuka dan ada yang dibuat secara tertutup. Bantuan-bantuan yang diberi pula tidak semestinya kepada kerajaan, tetapi termasuk individu-individu tertentu. Individu yang diberi terdiri daripada pelbagai kategori. Ada di antaranya pendakwah, pejuang Islam dan pemimpin-pemimpin negara.

Bagi bantuan yang diberi secara terbuka, tidak timbul isu ketelusan kerana kebiasaannya pengumuman akan dibuat mengenai siapa, nilai dana, apa tujuan sumbangan atau bantuan tersebut dibuat.

Menurut mereka juga, keikhlasan Arab Saudi terserlah apabila bantuan dan sumbangan yang diberi secara tertutup. Dalam konteks ini, pihak penderma tidak mahu bermegah-megah memaklumkan kepada awam siapa dan kenapa serta jumlah bantuan diberi. Walau bagaimanapun, pihak penerima dimaklumkan secara jelas tujuan atau matlamat bantuan diberi. Yang pasti Arab Saudi secara ikhlas ingin membantu pihak yang berkaitan atas objektif yang murni.

 Menurut New York Times pada Februari 1996, Arab Saudi telah memberi bantuan kepada Bosnia sebanyak AS$300 juta (nilai sekarang melebihi RM1 bilion) kepada kerajaan yang dipimpin oleh pemimpin Islam di Bosnia untuk memastikan pemimpin Islam di Bosnia terus berkuasa.

Malah pada tahun 2015 Faizal Hassan, wakil tetap Kerajaan Arab Saudi di Pejabat Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva menyatakan, pada masa yang lepas mereka telah memberi sumbangan melebihi dari AS$115 bilion kepada negara-negara di dunia.

Dalam konteks bantuan secara tertutup pula, sekiranya pihak penerima meraih kejayaan hasil daripada bantuan yang diberi, pihak pemberi tidak melaung-laungkan bahawa oleh kerana bantuan atau sumbangannyalah yang menyebabkan pihak penerima berjaya. Inilah yang dikatakan sebagai keikhlasan.

Walau bagaimanapun, keikhlasan tanpa ketelusan akan menimbulkan permasalahan lain. Antaranya ialah persepsi negatif. Seperti yang diketahui ada sumbangan yang diberi oleh Arab Saudi, diberi atas nama peribadi, bukan atas nama institusi atau organisasi. Oleh kerana perkara ini tidak dimaklumkan secara terbuka, maka pelbagai tafsiran akan timbul ke atas pihak penerima. Antaranya ialah kenapa pihak penerima tidak membuat pengisytiharan umum apabila wang tersebut diberi, lebih-lebih lagi sekiranya pihak penerima adalah seorang ahli politik.

Sebagai sebuah negara yang berdaulat, kita faham tujuan Arab Saudi adalah baik, malah ucapan King Salman sewaktu menerima Anugerah Doktor Kehormat di Universiti Malaya (UM) dan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di sini, baru-baru ini, turut menyeru supaya umat Islam bersatu dan Malaysia dianggap sebagai contoh negara Islam yang maju dan progresif. Beliau juga mahu melihat umat Islam tidak berpecah-belah sehingga mewujudkan satu keadaan di mana terdapat kumpulan-kumpulan yang bermusuhan sehingga membawa kepada keruntuhan dan kehancuran negara.

Maka adalah jelas dengan sumbangan Kerajaan Arab Saudi mahupun bentuk pelaburan yang besar sehingga RM40 bilion di Malaysia itu, pastinya beliau ingin melihat ekonomi kita lebih pesat berkembang, stabil politiknya dan aman makmur menuju kemajuan.

Jelasnya, adalah sudah menjadi amalan biasa dan lumrah bagi pihak Raja Arab Saudi sentiasa memberi sumbangan kepada negara Islam yang mereka kehendaki. Hal ini tidaklah menjadi suatu yang luar biasa dalam kalangan negara Arab dan dunia Islam hingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, diharapkan pihak Arab Saudi dapat juga memberi perhatian kepada pejuang-pejuang menegakkan governans dan integriti.

Mereka boleh mencontohi Qatar. Qatar telah memberi banyak sumbangan kepada pejuang anti-rasuah di peringkat antarabangsa. Doha telah mengambil alih peranan China sebagai peneraju Persatuan Autoriti Pencegah Rasuah Antarabangsa di mana Dr Ali dari Rule of Law and Anti-Corruption Centre telah dilantik sebagai presiden persatuan yang bertaraf antarabangsa ini. Malah Qatar juga telah bekerjasama dengan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu mewujudkan Anugerah Khas Anti-Rasuah. Terdapat empat kategori anugerah bertaraf antarabangsa ini iaitu anugerah ke atas individu, ke atas ahli akademik, belia dan kreativiti. Semua aktiviti ini memerlukan sumbangan kewangan yang besar.

Pada Disember tahun lepas, Arab Saudi telah menandatangani satu perjanjian MoU dengan pihak Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa, di mana salah satu perkara yang dijanjikan ialah memberi sokongan sewajarnya kepada akademi tersebut. Ini adalah satu langkah ke arah memberi sokongan kepada usaha-usaha pencegahan rasuah di peringkat antarabangsa.

Sebagai sebuah institusi antarabangsa yang diwujudkan atas sokongan 70 buah negara, sumbangan kewangan merupakan perkara yang amat penting. Kesudian Arab Saudi memberi sokongan ini amat bererti dan diharapkan ia dapat membantu akademi yang sangat-sangat memerlukan sokongan kewangan bagi perjalanan pengurusan mereka.

Kesimpulannya, keikhlasan dan ketelusan dalam pemberian bantuan serta sumbangan adalah dua perkara penting yang perlu ada untuk meningkatkan governans dan integriti dalam pengurusan pemberian sumbangan serta penerimaan sumbangan dan bantuan.

* Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Pusat Governans & Integriti Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara Shah Alam

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.