SHAH ALAM – Parti Amanah Nasional (Amanah) menuntut Malaysia menyatakan pendirian terhadap tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memindahkan kedutaan negara itu ke Baitulmaqdis.

Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak seharusnya menggunakan hubungan baiknya bersama Trump ke arah mempengaruhi polisi Trump untuk kebaikan umum umat Islam sedunia.

“Beliau sering mengumumkan hubungan baik dan istimewa beliau dengan Trump.

“Baik dalam isu pengistiharaan pengharaman umat Islam negara tertentu memasuki AS sehingga hasrat Trump memindahkan Kedutaan AS ke Baitulmaqdis, Najib membisu seribu bahasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Najib dilihat lebih mengutamakan memelihara hubungan peribadi dengan Trump supaya tidak terjejas daripada menggunakannya untuk kepentingan umum umat Islam.

“Ini adalah  sikap mementingkan diri dan bukan sikap seorang pemimpin Islam yang berjuang dan berkorban untuk umat Islam sedunia.

“Adakah ini sikap seorang pemimpin yang kita boleh  berbangga membela Islam atau yang patut kita ganti? Seluruh Dunia dan Malaysia memerhati kelemahan kepimpinan Najib yang amat mendukacitakan,” ujarnya.

Raja Bahrin berkata, sebagai perdana menteri, Najib hanya berani menjuarai Islam di Malaysia sahaja seperti seorang  jaguh kampung.

“Di pentas antarabangsa Malaysia sudah tidak lagi relevan di bawah kepimpinan Najib. Itulah Nasib Malaysia hari ini selepas 60 tahun Merdeka.

“Adakah Malaysia mempunyai pendirian dalam isu yang melibatkan salah satu tempat terpenting untuk dunia dan umat Islam?,” soalnya.

Dalam masa sama, Amanah turut mengecam sekeras-sekerasnya tindakan Trump ini.

“Sejak menjadi presiden Trump bukan menjadi pendamai tetapi menjadi punca tercetus ketegangan dan persengketaan di Timur Tengah dan juga di Asia terutamanya di Korea.

“Hak orang Islam sedunia tercabar dan maruah kami tercalar teruk hari ini. Baitulmaqdis adalah isu terpenting menyelesaikan isu Rakyat Palestin dan Islam sedunia,” katanya.

AS adalah musuh nyata orang Islam dan Palestin dengan tindakan ini yang kami kutuk sekeras kerasnya.

“Hari ini mereka mereka yang memilih menjadi sekutu rapat AS adalah musuh umat Islam.

“Kami juga menuntut kerajaan Malaysia menghantar bantahan keras ke AS atas tindakan memindah kedutaannya ke Baitulmaqdis," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Jangan berani isytihar Baitulmaqdis milik Israel]

Artikel berkaitan yang patut anda baca :