• Ismail Sabri Ismail Sabri
1 /

BERA -  Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Dr Mohd Puad Zarkashi akan mempertahan jawatan masing-masing sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno pada pemilihan parti itu
Oktober depan.

Ismail Sabri berkata keputusan beliau untuk bertanding adalah sebagai mewakili golongan petani, nelayan, penternak dan peladang bagi menyuarakan masalah mereka kepada kerajaan.

"Dengan pengesahan untuk mempertahankan jawatan ini, saya berharap ada kalangan rakan akan membantu saya pada kali ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Berkelompok Cawangan Umno Bahagian Bera hari ini.

Anggota Parlimen Bera dan Ketua Umno Bahagian Bera itu berkata beliau akan turun padang menjelajah ke bahagian lain bagi mendapatkan sokongan.

Ismail Sabri juga berkata Umno Bahagian Bera memutuskan pada mesyuarat jawatankuasanya semalam bahawa jawatan ketua bahagian, timbalan ketua dan naib ketua tidak akan dipertanding pada pemilihan kali ini.

Sementara itu, di JOHOR BAHRU, Mohd Puad berkata Majlis Tertinggi Umno merupakan platform penting dalam membuat keputusan untuk parti dan mempunyai peranan penting dalam mempengaruhi dasar kerajaan.

Ketua Umno Bahagian Batu Pahat itu    berkata banyak perkara yang boleh dilakukan, khususnya dalam menyampaikan hasrat bukan sahaja dalam kalangan anggota malah suara badan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat kepada kerajaan.

"Saya rasa saya perlu ada di dalam majlis ini dan terus memainkan peranan dalam jawatan ini," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri hari ini yang dipengerusikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata pemilihan kali ini dilihat sebagai platform demokrasi kerana memberi kuasa kepada anggota di peringkat akar umbi untuk menentukan pemimpin mereka.

Pendekatan baharu itu akan memberi peluang yang sangat luas kepada anggota untuk memilih pemimpin yang sesuai bagi menyampaikan suara dan hasrat mereka, katanya.

Di KUALA LUMPUR, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir belum memutuskan sama ada beliau akan bertanding atau tidak pada pemilihan Anggota Majlis Tertinggi Umno.

Walaupun terdapat cadangan daripada beberapa pihak agar beliau bertanding pada pemilihan itu, Mukhriz masih mempertimbangkan perkara itu dan akan membuat keputusan apabila tiba masanya.

"Tetapi ada juga cadangan daripada veteran Umno supaya Menteri Besar dan Ketua Menteri tidak bertanding merebut jawatan dalam Majlis Tertinggi Umno supaya kita boleh beri tumpuan kepada tugas di negeri masing-masing," katanya pada Rumah Terbuka Aidilfitri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di sini hari ini.

Beliau berkata seseorang itu perlu memastikan diri mereka benar-benar layak menjadi pemimpin berkaliber untuk parti sebelum menyatakan hasrat untuk bertanding. - Bernama