KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menambah baik dan meningkatkan prestasi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara dalam usaha menempatkan nama Malaysia dalam kelompok 50 universiti terbaik di dunia.
 
Timbalan Menteri Pelajaran II P.Kamalanathan berkata kerajaan melalui penggabungan dua kementerian (Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi) akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi melonjakkan nama IPTA dan kebolehdapatan graduan.
 
"Kita perlu mengambil perhatian serius untuk memperkukuhkan status dan mutu pencapaian universiti-universiti tempatan bagi memastikan ia termasuk dalam golongan 50 universiti yang terhebat di peringkat antarabangsa.
 
"Buat masa ini kita belum ada di sana...yang terdekat ialah Universiti Malaya di ranking 146...justeru kita akan pastikan universiti-universiti ini dibantu untuk mencapai tahap itu," katanya kepada Bernama selepas rakaman program Hello Malaysia edisi Tamil terbitan Bernama TV di Wisma Bernama, di sini hari ini.
 
Beliau berkata hala tuju kementerian itu juga akan terarah kepada langkah menganjakkan lagi pencapaian dan mutu pendidikan pelajar di sekolah rendah dan menengah.
 
"Kementerian juga akan memastikan pelan pembangunan pendidikan yang telah dilancar tahun lepas dilaksanakan secepat mungkin mengikut dasar dan masa yang ditetapkan.
 
"Tahap pembelajaran dan prestasi sekolah menengah, rendah serta prasekolah, semua ini akan menjadi kayu ukur pencapaian kita dalam masa terdekat," katanya. 

Beliau berkata kementerian juga akan memastikan infrastruktur dan prasarana sekolah-sekolah di seluruh negara ditambah baik. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TAIPING - Kerajaan sedia mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat peristiwa Memali pada 19 November 1985, di Baling, Kedah yang mengorbankan 18 nyawa termasuk empat anggota polis.
  • PEKAN - Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menzahirkan rasa teruja apabila Tenun Pahang Diraja rekaannya menjadi pilihan puteri tunggal Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim, untuk dipakai pada hari bersejarah baginda.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.