BESUT - Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) menambah pengambilan pelatih lulusan Sijil Pelajaran Malaysia sekali ganda kepada 4,000 orang pada sesi Julai ini, berbanding 2,379 pada tahun lalu.
 
Rektor IPGM Datuk Dr Haili Dolhan berkata mereka yang layak akan menerima surat tawaran pada Jun ini untuk mendaftar di 26 buah IPGM di seluruh negara.
 
Pertambahan calon bagi mengikuti Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan itu dijangka dapat mengatasi masalah kekurangan guru dalam tempoh dua tahun dari sekarang, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
 
"Buat masa ini, terdapat 53,000 pelatih guru yang mengikuti pengajian dalam dan luar kampus sama ada di peringkat diploma mahupun kursus semasa cuti yang dijangka dapat memenuhi keperluan dalam negara," katanya.
 
Mengulas lanjut, Haili berkata setakat ini masalah kekurangan guru dihadapi khususnya di Sabah dan Sarawak.
 
Mengulas isu berbeza, Haili berkata setakat ini pihaknya tidak menerima laporan mengenai pembabitan pelatih guru dari IPGM dalam perhimpunan anjuran badan bukan kerajaan yang disokong pembangkang di ibu kota pada Sabtu lepas.
 
Jika ada, pelatih berkenaan akan dikenakan tindakan disiplin termasuk dibuang daripada institusi selaras dengan peruntukan undang-undang, katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BESUT - Kira-kira 10,000 tetamu hadir di majlis perkahwinan anak lelaki Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Toh Puan Seri Che Kamarah Zakaria yang diadakan serentak dengan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya.
  • BESUT - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersedia membantu kerajaan negeri Terengganu memulihkan Taman Ilmu di Tembila, Besut agar dapat dimanfaatkan oleh warga Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.