KUALA LUMPUR – Kerajaan berhasrat memperkenalkan beberapa insentif cukai dalam usaha mencapai aspirasi dan matlamat Dasar Industry4WRD, dasar nasional yang bertujuan menjadikan Malaysia destinasi utama bagi pelaburan industri berteknologi tinggi.

Galakan cukai itu merangkumi insentif cukai pendapatan bagi Penilaian Kesediaan Industri 4.0 (I4.0-RA), program pembangunan vendor Industry4WRD dan pembangunan modal insan, demikian menurut lampiran tambahan Belanjawan 2019 yang dibentangkan di Parlimen, hari ini.

Insentif cukai bagi Penilaian Kesediaan I4.0, berkuat kuasa bagi tahun penilaian 2019 sehingga 2021 bertujuan melonjakkan aspek proses kesediaan.

Di bawah insentif itu, sesebuah syarikat dicadangkan untuk mendapat potongan cukai ke atas perbelanjaan penilaian oleh syarikat iaitu terhad bagi perbelanjaan sehingga RM27,000 yang dibayar kepada Perbadanan Produktiviti Malaysia.

Insentif proram pembangunan vendor Industry4WRD yang melibatkan syarikat utama membangunkan vendor tempatan dalam I4.0 pula layak menuntut potongan dua kali ke atas perbelanjaan melaksanakan berkaitan.

Ini termasuk perbelanjaan operasi bagi kos pembangunan produk, kos peningkatan keupayaan vendor dan kos latihan kemahiran vendor yang disahkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) .

Perbelanjaan operasi itu dihadkan sehingga RM1 juta setahun dan layak dituntut bagi tiga tahun taksiran berturut-turut.

Cadangan insentif pembangunan modal insan membabitkan potongan dua kali ke atas biasiswa syarikat kepada penuntut Malaysia yang berdasarkan syarat tertentu, mengikuti pengajian di peringkat teknikal dan vokasional, diploma dan ijazah dalam bidang kejuruteraan dan teknologi (berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2019-2021).

Kerajaan juga antara lainnya bercadang memberi insentif potongan cukai terhadap perbelanjaan oleh syarikat yang menyertai Skim Latihan Dual Nasional bagi program I4.0 diluluskan Kementerian Sumber Manusia (berkuat kuasa 1 Jan-31 Dis, 2019)  selain potongan cukai bagi perbelanjaan pembangunan kursus baharu bidang kejuruteraan dan teknologi I4.0 oleh institusi pengajian tinggi swasta yang disahkan oleh Kementerian Pendidikan. - Bernama