BENTONG - [VIDEO] Dalam usaha merubah wajah 317 tanah rancangan di negara ini, Felda memperuntukkan sebanyak RM30 juta setahun untuk Inisiatif Felda 2.0 bagi menjadikan Felda kea rah lebih mapan dan pintar seiring perkembangan semasa.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, inisiatif tersebut bakal dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 4 Februari ini di Felda Lurah Bilut di sini, dengan menggariskan beberapa aspek dengan agenda utamanya adalah pembangunan modal insan.

Menurutnya, ia adalah usaha berterusan Felda bagi menaik taraf aspek ekonomi, alam sekitar, pendidikan, teknologi dan kesihatan di setiap 317 tanah rancangannya di seluruh negara yang merupakan ledakan transformasi luar bandar yang Felda mahu laksanakan untuk generasi muda peneroka.

"Asas penubuhan Felda adalah untuk membangunkan modal insan dengan menjadikan pertanian sebagai medium utama memperoleh pendapatan.

"Felda cari keluarga yang miskin dengan membantu mereka keluar dari paras kemiskinan untuk hidup dalam komuniti dengan disediakan kemudahan seperti pendidikan dan kesihatan yang setaraf seperti di bandar," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Keluarga Felda Lurah Bilut 2018 di Padang Awam Felda Lurah Bilut di sini hari ini.

Turut hadir sama ialah Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong.

Shahrir berkata,  melalui inisiatif Felda 2.0 pihaknya mahu membangunkan satu komuniti yang bukan sahaja sihat dan berdaya tahan tetapi lestari dari aspek ekonomi, alam sekitar serta pintar iaitu berteraskan teknologi terkini.

“Kita lancarkan Felda 2.0 di Felda Lurah Bilut yang juga tanah rancangan pertama dan  percubaan pertama kerajaan bagi pembangunan modal insan 60 tahun lalu dan ianya tidak pernah dibuat oleh mana-mana negeri di dunia.

“Jadinya, kita mengambil semangat  masyarakat peneroka sejak dahulu hingga sekarang untuk mengadakan inisiatif Felda 2.0 untuk mewujudkan komuniti yang lebih berdaya tahan, mapan dan pintar.

Tambahnya, kira-kira 6,000 penduduk Felda Lurah Bilut, di sini, bakal menikmati taraf kehidupan sama seperti di bandar menerusi pelaksanaan projek Lembah Digital Bilut.

“Kita sasarkan dalam masa beberapa tahun ia bukan sahaja membolehkan penduduk menggunakan internet berkelajuan tinggi, malah membuka peluang ekonomi, khususnya dalam aspek usahawan digital, pertanian moden dan ekopelancongan kepada penduduk setempat,” katanya.