KLANG – Khasiat madu kelulut menjadi antara rahsia calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni mengekalkan staminanya untuk berkempen selama 14 hari pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Kandis.

Beliau berkata, walaupun sudah lali bekerja dari pagi hingga lewat malam semasa aktif bergerak bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), namun faktor pengambilan pemakanan tambahan seumpama itu mesti diutamakan selain sentiasa melakukan senaman ringan di rumah demi menjaga kesihatan.

Menyifatkan jadual kempennya pada PRK ini padat bermula awal pagi hingga malam walaupun baru hari pertama, Mohd Zawawi mempertaruhkan pengalamannya mengatur masa bekerja dan berehat dengan NGO sebelum ini dalam menyantuni serta mendekati pengundi Dun Sungai Kandis.

“Cara saya nak kekalkan stamina adalah dengan makan madu kelulut sebanyak satu sudu besar setiap pagi dan sebelum tidur setiap malam selain ada beberapa ramuan rahsia lain (untuk memberi tenaga),” katanya sambil ketawa selepas menutup Program Insan Selangor di sini, hari ini.

Program berkenaan merupakan lokasi kelima Mohd Zawawi dalam jadual kempen hari pertamanya bermula hari ini.

Ditanya mengenai sambutan rakyat di beberapa lokasi tumpuan pada kempen hari pertamanya, Mohd Zawawi tidak menyangka penerimaan masyarakat terhadap beliau amat positif dan mereka memohon supaya sebarang perancangan yang dimulakan wakil rakyat terdahulu, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei diteruskan jika beliau diberi mandat.

Malah katanya, kepedulian sosial terhadap golongan mustad’afin (golongan miskin) yang menjadi amalan Mat Shuhaimi dilihat sinonim dengan jiwanya dan wajar diteruskan bagi membela nasib rakyat di situ.

Memandangkan Dun Sungai Kandis merupakan nama baharu susulan persempadanan semula kawasan pada PRU14 lalu, Mohd Zawawi berkata banyak faktor yang perlu beliau ambil peduli dan kempennya akan memberi fokus untuk menyelami kehendak rakyat.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai penerimaan keluarga atas pemilihannya sebagai calon wakil rakyat, Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh Jalan Kebun itu menyatakan isteri dan anak-anaknya amat memahami malah ketiadaannya di rumah kerana sibuk berkempen tidak akan merenggangkan hubungan kekeluargaan.

“Semasa terlibat dalam NGO pun saya jarang berada di rumah namun anak dan isteri faham yang saya habiskan masa menyantuni masyarakat. Sebelum ini juga saya bekerja sendiri, jadi mudahlah untuk saya ubah suai masa untuk tetap bersama keluarga,” katanya.

PRK Dun Sungai Kandis ditetapkan pada 4 Ogos ini berikutan Mat Shuhaimi yang merupakan penyandang kerusi itu meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Mohd Zawawi bakal ditentang calon BN Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas K. Murthy. - Bernama

[ARTIKEL BERKAITAN: Mohd Zawawi yakin pertahan kerusi Sungai Kandis]