SHAH ALAM - Fenomena ikan banyak sekarang disebabkan faktor musim (ikan matang) terutamanya ikan kembung.

Situasi ini sekaligus membawa kepada penurunan harga ikan pada masa kini.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perikanan (DOF), Datuk Munir Mohd Nawi, trend pendaratan ikan kembung menurun pada Januari hingga Mac dan meningkat mulai April setiap tahun.

"Selain itu, stok ikan meningkat hasil pemuliharaan sumber dan penguatkuasaan peraturan perikanan yang dijalankan oleh DOF," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Udang galah 70 sen, cencaru 20 sen jadi rebutan ]

Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada fenomena peningkatan hasil ikan dan penurunan harganya di beberapa tempat di negara ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan kajian corak pengambilan (recruitment patterns) yang dijalankan oleh DOF, stok ikan kembung akan mula tertangkap oleh pukat nelayan mulai April yang mana ini berkait dengan musim bertelur pada Jun dan September yang mengambil masa anggaran lapan bulan untuk ikan matang.

"Ikan kembung juga merupakan sumber yang dikongsi (shares stock) dengan negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Myanmar dan peningkatan  pendaratan pada masa ini disebabkan sumber bergerak ke perairan kita," katanya.

Jelasnya, inisiatif bersama negara-negara Asean di bawah platform SEAFDEC untuk pengurusan sumber perikanan turut menyumbang kepada peningkatan pendaratan ikan.

"Ada peningkatan stok baru yang nelayan pantai dapat tangkap sekarang ini. Nelayan pukat hanyut tangkap di kawasan pantai 2-3 batu nautika.

"Sebelum ini nelayan pantai terpaksa pergi jauh ketengah laut utk dapatkan ikan," katanya.