SHAH ALAM - Nurul Izzah Anwar berkata, ayahnya ada menitipkan nasihat kepada dirinya sejurus Ketua Umum PKR itu dibebaskan daripada penjara.

Katanya, saranan dan nasihat itu sangat membekas dalam dirinya, dan beliau beriltizam untuk menjadikan saranan itu sebagai panduannya dalam menempuh liku-liku perjalanan dalam dunia politik.

“Antara perkara pertama yang ayah sebut ialah janganlah sibuk serta ramai-ramai, semua nak jadi menteri,” katanya dalam program FB Live Sinar Harian, di sini hari ini.

Kata puteri sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, ayahnya juga sering mengingatkan dirinya bahawa kehidupan ini adalah satu perjuangan.

Justeru, katanya pesanan-pesanan dan kata-kata mengenai perjuangan itu sudah sebati dengan dirinya.

Ramadan kali ini pasti amat bermakna buat mereka sekeluarga.

[ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga sukar katakan tidak ketika Tun M mula salam Anwar]

“Saya memang dah biasa, anak sulung Datuk Seri Anwar memang macam tu,” tuturnya.

Dalam pada itu mengulas lanjut mengenai pembebasan ayahya, Nurul Izzah berkata ayahnya sangat menghargai sokongan rakyat selain menghargai perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang telah memberi pengampunan serta merta.

“Datuk Seri Anwar walaupun masa dia keluar penjara memanglah dia peluk cium kami sekeluarga tapi dia sebut dia kasihkan dan hargai sokongan rakyat, tanpa rakyat siapalah kami.

“Dan surat pengampunan yang diberikan oleh Agong kepada pihak penjara...jadi Anwar tak bersalah, saat itu  nama Anwar bersih, jadi sekali gus dapat  hak pertahankan maruah itulah saat yang paling bermakna,” katanya.

Anwar bebas dari penjara selepas mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong.