SHAH ALAM - Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak membatalkan lesen perniagaan serta mengarahkan penutupan mana-mana premis yang didapati menjual minuman keras secara haram.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata pihaknya telah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Selangor untuk mempergiat lagi operasi pemeriksaan terhadap premis perniagaan yang menjual minuman keras terutama di kawasan tumpuan warga asing.

“Usaha pemeriksaan ini sememangnya selalu diadakan tetapi berikutan kejadian keracunan alkohol kerana meminum arak haram baru-baru ini, saya mengarahkan semua PBT untuk menjalankan pemeriksaan dengan lebih kerap lagi.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen dan mengarah tutup mana-mana premis perniagaan seperti kedai runcit dan kedai serbaneka 24 jam yang didapati menjual arak haram kepada pengguna,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurut Ng lagi, satu perjumpaan dengan Yang Dipertua kesemua 12 PBT di Selangor diadakan bagi membincang hal berkenaan dan mereka memberi komitmen sepenuhnya untuk membanteras penjualan arak haram di kawasan masing-masing.

Menurut kenyataan Polis Selangor, tiga lagi individu yang mengalami keracunan akohol akibat meminum arak tiruan dibenar keluar hospital hari ini.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan 19 individu dibenarkan keluar hospital sejak Isnin lepas, manakala jumlah mangsa di Selangor yang maut akibat kejadian berkenaan kekal 24 orang.

“Mangsa yang meninggal dunia membabitkan dua rakyat Malaysia, dua (Bangladesh), lapan (Nepal), 10 (Myanmar), seorang warga India dan seorang individu yang tidak diketahui identitinya,” demikian menurut kenyataan itu.

Sejak 17 September lepas, lebih 30 orang yang terdiri daripada warga asing dan tempatan meninggal dunia dan berpuluh lagi dirawat di hospital sekitar Lembah Klang, Perak dan Negeri Sembilan akibat keracunan alkohol. - Bernama