DOA ibu bapa itu lebih Afdal. Sebab itu, setiap anak pastinya mengharapkan keberkatan doa ibu bapa masing-masing dalam menjalani kehidupan seharian.

Baru-baru ini rakaman tular menunjukkan seorang bapa sedang menghantar anaknya di hadapan pagar sekolah dan menadah tangan berdoa sebelum beredar menaiki sebuah motosikal menyentuh hati netizen sehingga ada yang mengalirkan air mata.

Netizen menganggap anak kepada lelaki tersebut amat bertuah kerana memiliki seorang bapa yang penyayang.

[ARTIKEL BERKAITAN: Doa untuk anak buat netizen terharu]

Nurul Aisyah, anak bongsu kepada Bakri Md Noor, 53, lelaki yang videonya tular di media sosial itu tidak menduga 'amalan' bapanya itu akan mendapat perhatian ramai.

Pelajar tingkatan 5 di sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu berkata, dia sudah terbiasa dengan amalan tersebut yang turut menjadi ikutan mereka lima beradik sejak kecil lagi.

"Abah memang buat macam tu dengan kami adik-beradik dari arwah mak ada lagi... satu keluarga kami memang macam tu.

"Masa mak ada lagi, masa abah nak pergi kerja kami akan lambai abah dari rumah. Mak akan baca doa semoga perjalanan abah selamat. Jadi ia sudah jadi rutin sebab mak selalu tunjuk, jadi kami pun ikut sekali," katanya.

Nurul Aisyah bersama adik beradik yang lain -Foto Facebook Nurul Aisyah Bakri

Ketika pertama kali melihat video tular tersebut, Nurul Aisyah atau lebih mesra disapa Aisyah berkata dia amat terharu dengan tindakan bapanya itu.

"Macam biasa saya akan salam abah kemudian cium pipi abah sebelum masuk sekolah. Saya tahu abah doakan saya tapi bila tengok video itu, saya rasa terharu.

"Dalam hati kecil saya kata Alhamdulillah bertuahnya dapat bapa macam abah sebab jarang kita tengok bapa orang lain buat macam tu," katanya.

Aisyah tidak menolak selain pentingnya usaha, doa ibu dan bapanya menjadikan mereka lima beradik cemerlang dalam pelajaran masing-masing.

"Walaupun saya tak tahu apa yang ibu dan abah doakan untuk kami tapi saya tahu mereka mahukan semua anak mereka berjaya," katanya.

Menurutnya, bapanya pernah bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang sebelum mengambil keputusan berhenti kerja demi menjaga ibunya, Sabariah Ariffin yang menghidap kanser paru-paru pada 2014.

"Mak dikesan kanser tahap 4 hujung tahun 2014. Jadi abah jaga mak sampailah mak meninggal pada 29 November 2016," katanya.

Selepas pemergian ibunya, Aisyah berkata bapanya membuat keputusan untuk tidak lagi bekerja dan berniaga nasi lemak secara kecil-kecilan demi memberi tumpuan kepada dirinya yang masih bersekolah.

Menurut anak bongsu daripada lima beradik itu juga, kakak sulungnya bekerja sebagai jurutera manakala kakak ketiganya juga menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan awam.

"Insya-ALLAH saya juga akan mengikut jejak langkah kakak-kakak saya tapi saya lebih berminat dengan komputer dan teknologi," kata pelajar aliran sains itu.

Katanya, sebagai anak bongsu dia rapat dengan ibu.  Jadi sebelum ibunya meninggal, ibunya berpesan kepada ayahnya agar menjaganya sampai habis sekolah.

"Abah tunaikan janji mak. Abahlah yang hantar dan ambil saya balik sekolah naik motor. Dia juga akan masak untuk Aisyah.

"Sekarang abah jual nasi lemak. Kalau ada orang order dia akan buatkan. Abah belajar dari arwah mak sebab dulu mak pun berniaga nasi lemak," katanya yang tinggal bersama bapa dan abangnya di Juru, Pulau Pinang.

Memandangkan Aisyah akan menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) November ini, dia berazam untuk memperoleh keputusan cemerlang bagi membalas jasa bapanya.

"Saya pernah janji dengan arwah mak nak berjaya... nak bawa mak jalan-jalan tapi tak sempat. Kalau nak patah balik masa memang tak dapat, jadi inilah peluang saya nak balas jasa abah.

"Bila tengok video viral ramai komen baik-baik... Alhamdulillah mereka doakan saya tapi pada masa sama saya rasa tertekan sebab takut kalau tak dapat keputusan elok.

"Sampai saya terfikir... kalau tak dapat keputusan elok macam mana nak balas jasa abah. Jadi saya akan cuba buat yang terbaik demi abah," katanya yang menyasarkan untuk mendapat 6A, 3B dalam SPM nanti.

Sementara itu, Aisyah turut menasihati rakan seusianya supaya menghormati dan menghargai ibu bapa masing-masing.