India muslim
$entry.content.caption.value

KOTA BHARU – Golongan India Muslim di negeri ini kesal kerana nasib mereka tidak pernah terbela dan terpaksa mencari dana sendiri untuk kebajikan anggota.

Pengerusi Persatuan Muslim India Kelantan (PMIK), Asree Abdullah berkata, beliau tidak pasti kenapa golongan India Muslim terpinggir tidak seperti kaum India dan kaum lain di negara ini.
 
“Kami seperti tidak ada tempat dalam masyarakat, kami tidak mendapat perhatian parti-parti politik. Kami pernah bertanyakan kepada pihak MIC tapi mereka mengutamakan anggota mereka daripada kaum India, jadi kami India Muslim tidak ada lagi tempat mengadu,” katanya.
 
Justeru katanya, PMIK yang mendapat kerjasama daripada Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim) akan mengadakan Majlis Perjumpaan dan Erat Silaturahim pada 24 Februari ini di Dewan Kenanga, Hotel Raudah di sini.
 
Asree berkata, 70 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam Permim dan 20 NGO lain seluruh negara menyertai program bermula jam 9 malam itu yang akan dirasmikan Presiden Permim, Datuk Dr Syed Ebrahim Mohamad Ismail.
 
“Kami akan mengadakan perbincangan antara wakil NGO yang hadir bagi mencari jalan penyelesaian berhubung nasib golongan India Muslim. Kami juga akan membuat rumusan untuk membawa masalah ini kepada Perdana Menteri,” katanya.
 
Sementara itu, Setiausaha PMIK, Mohamed Sultan Oli Muhamed berkata, bersempena majlis tersebut, Forum Perdana (Tamil) di Madrasah Faizul Islam bertajuk ‘Pendidikan dan Ekonomi’ akan diadakan jam 9 pagi hari sama dengan menampilkan empat panel iaitu beliau sendiri, Profesor Madya Dr Meera Abdul Kareem, Profesor Madya Dr Sirajudeen dan Al-Amin Mohamed Sultan.
 
Menurut Mohamed Sultan, beliau memandang serius nasib India Muslim dan sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian.
 
“Kami terpaksa mengutip derma daripada anggota untuk membayar guru al-Quran yang mengajar anak-anak anggota. Demikian juga dalam soal kebajikan lain, kami terpaksa mendapatkan bantuan daripada golongan anggota sendiri,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.