KUALA LUMPUR - Krisis yang melanda 1 Malaysia Develompent Berhad (1MDB) tidak memberi kesan teruk terhadap ekonomi Malaysia.

Kementerian Kewangan berkata, sebaliknya, isu melanda syarikat tersebut hanya memberi impak yang rendah terhadap kedudukan ekonomi negara, dengan program rasionalisasi syarikat itu sedang berjalan baik.

"Fakta ini begitu jelas dan tidak dipertikaikan oleh pelabur, teknokrat dan usahawan Amerika Syarikat (AS).

"Hakikatnya, ekonomi Malaysia akan terus berkembang pada kadar yang jauh melebihi purata antarabangsa seperti mana yang dilaporkan oleh Bank Dunia," kata kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Khamis lalu.

Kementerian Kewangan menjawab soalan Datuk Raime Unggi (Tenom-BN) yang bertanyakan mengenai maklumat balas pelabur, teknokrat dan usahawan AS berhubung sikap keterbukaan Malaysia yang mengatakan terdapat kempen sengaja mensabotaj 1MDB.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberitahu komuniti perniagaan negara itu bahawa wujudnya kempen tersebut untuk melemahkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia.

Di samping itu, Perdana Menteri telah menggesa komuniti terbabit supaya tidak membiarkan perkara ini mengaburi realiti sebenar.

"Tindakan itu merupakan sebahagian daripada percubaan yang gagal untuk menggulingkan kerajaan.

"Malah, laporan Bank Dunia turut menyebut jumlah kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) terus rancak di Malaysia," katanya.