KUALA LUMPUR - Tindakan Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan memulakan rancangan untuk memindahkan kedutaan Amerika Syarikat (AS) dari Tel Aviv ke bandar suci yang menjadi rebutan sengit itu merupakan perbuatan yang secara terang-terangan mencabuli hak rakyat Palestin.

Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd Amin berkata langkah itu adalah antara perbuatan paling keji, tidak adil dan jijik yang pernah dilakukan sebuah kuasa dunia berkaitan proses damai Palestin-Israel.

“CENTHRA mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya langkah Presiden Trump yang barangkali ingin mengotakan janjinya semasa berkempen sebagai calon presiden tahun lepas.

“Malah, janji itu tidak seharusnya dibuat kerana status muktamad bandar suci itu hanya semata-mata bergantung pada persetujuan akhir yang dicapai dalam rundingan damai antara Palestin dan Israel,” kata peguam itu dalam kenyataan hari ini.

Baitulmuqaddis adalah bandar raya yang dianggap suci bagi tiga agama dunia iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Bagi umat Islam, Baitulmuqaddis adalah tanah suci ketiga selepas Makkah dan Madinah.

Sehubungan itu, Azril menyeru Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya campur tangan dan menegaskan sekali lagi tentang kedudukan Baitulmuqaddis sebagai perkara yang tertakluk kepada persetujuan muktamad yang dicapai antara Palestin dan Israel, sejajar dengan undang-undang antarabangsa dan prinsip hak asasi manusia  sejagat.

“CENTHRA juga menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya mengadakan mesyuarat tentang isu itu serta mengambil langkah drastik dan tegas susulan langkah AS tersebut, termasuk mengkaji semula dan jika perlu, menurunkan taraf atau memutuskan hubungan dengan AS berhubung perkara sama.

“AS perlu disedarkan bahawa tindakan terbarunya berhubung perkara itu mempunyai kesan yang tidak boleh dipandang  ringan,” tegas beliau. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Amerika Syarikat (AS) perlu menilai semula keputusannya untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.
  • KUALA LUMPUR - Kemungkinan pengiktirafan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara baharu Israel bakal menggugat kestabilan perdagangan dunia, sekali gus menjejaskan ekonomi dan pertumbuhannya, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.