TAK sah berkunjung ke negeri Jelapang Padi tanpa membeli ikan pekasam yang dijual di tempat ikonik pelancongan Kedah, Pekan Rabu.

Keunikan rasanya yang lain daripada di tempat lain menjadikan pekasam Pekan Rabu bukan sahaja menjadi pilihan pelanggan dari Kedah malah ada yang sanggup datang dari luar semata-mata untuk menikmati makanan terkenal di utara itu.

Walaupun kompleks Pekan Rabu berpindah di penempatan sementara di Ukir Mall sejak 2014, namun ia tetap menjadi tumpuan pengunjung semata-mata ingin menikmati makanan tradisi yang memiliki rasa lemak, masam dan masin itu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kedai peniaga Pekan Rabu di Ukir Mall tidak putus-putus dengan kehadiran pengunjung ingin mendapatkan ikan pekasam pilihan mereka.

Pekan Rabu beroperasi di Ukir Mall.

Dengan berkunjung ke deretan kedai di premis terletak di Jalan Sultan Badlishah, pengunjung berpeluang membeli ikan pekasam air tawar yang sukar diperoleh ketika ini.

Daripada hampir 300 peniaga Pekan Rabu di Ukir Mall, sembilan kedai menjalankan perniagaan ikan pekasam air tawar dan ikan laut.

Walaupun memiliki bau agak kuat, bagaimanapun bagi penggemarnya hidangan nasi lebih menyelerakan dan sedap apabila disajikan dengan ikan pekasam.

Tidak dinafikan, setiap negeri memiliki resipi pekasam tersendiri, akan tetapi pekasam Kedah dijual di Pekan Rabu seakan lebih istimewa dan memiliki aura sehingga keenakan jadi sebutan pengunjung luar dan antarabangsa.

Jalan jauh demi pekasam

Ahli perniagaan, Ahmad Fauzi Khamis, 55, dia pelanggan setia pekasam yang dijual di Pekan Rabu sejak berbelas tahun lamanya.

Ahmad Fauzi berkata, dia sanggup datang dari Kepala Batas, Jitra demi mendapatkan pekasam yang digemari seisi keluarganya.

“Saya memang pelanggan tetap pekasam Pekan Rabu. Pergi ke mana sekalipun, saya akan cari pekasam yang dijual di sini,” katanya.

Menurutnya, selain keenakan rasa, dia menggemari ikan pekasam dijual di Pekan Rabu kerana ikan digunakan lebih segar, malah isinya tidak hancur ketika digoreng.

Beberapa pelanggan leka memilih pekasam.

“Harga juga tidak sama seperti tempat lain. Saya boleh beli ikan pekasam pada harga berpatutan berbanding tempat lain. Jadi, memang berbaloi,” katanya.

Katanya, pekasam berkenaan juga sering mendapat permintaan ahli keluarga, sanak saudara mahupun sahabat handai yang tinggal di Kuala Lumpur.

“Jadi, saya memang tak pernah terlepas untuk datang ke sini. Kadang datang beli untuk adik beradik, kadang untuk kawan yang teringin sangat makan ikan pekasam dijual di Pekan Rabu,” katanya.

Terima tempahan luar negara

Peniaga, Anis Syuhada Azizan, 20, berkata, keunikan pekasam Kedah dijual di Pekan Rabu membuatkannya terkenal sehingga ke luar negara.

“Ada yang datang beli semata-mata untuk dibawa ke luar negara. Malah, ada yang mengambil bekalan untuk dihantar kepada orang yang menempah,” katanya.

“Bukan setakat Brunei dan Singapura. Sehingga kini, bekalan pekasam dah sampai New Zealand dan Lubnan,” katanya.

Anis berkata, orang luar dari merata tempat termasuk Kuala Lumpur sering singgah di Bandaraya Alor Setar, untuk beli bekalan dan dibawa pulang ke tempat mereka.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEMAMAN - Kekurangan ikan kembung di jeti pendaratan di seluruh negara menyebabkan harganya tidak stabil dan sedikit mahal sejak akhir-akhir ini, kata Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
  • KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang mencari mekanisme sesuai untuk menyelaraskan harga ikan dalam pasaran pada harga berpatutan.
  • KUALA LUMPUR - Sebanyak 145 tan metrik stok ikan sejuk beku diaktifkan dan mula diedar bagi mengimbangi kekurangan bekalan ikan di seluruh negara berikutan musim tengkujuh.
  • KUALA ROMPIN - Sekatan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengeksport tujuh jenis ikan keluar negara bermula 1 Disember hingga akhir Februari tahun depan adalah tepat bagi memenuhi permintaan rakyat golongan sasar di negara ini.