KUALA LUMPUR - Diserang bertubi-tubi di Parlimen, dikritik setiap hari dalam media sosial, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy hari ini ‘meluahkan perasaan’ beliau di Faceboknya.

Dalam catatan ringkas itu, Moorthy merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia tidak kira lapisan masyarakat dan kaum yang menyokong beliau dalam isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia tidak mengira lapisan masyarakat, tidak mengira bangsa dan agama atas sokongan diberi kepada saya sejak beberapa hari lepas berhubung isu ICERD,” katanya.

Tambah Moorthy, beliau merasakan tiada keperluan mewujudkan petisyen atas talian memintanya kekal memegang jawatan Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.

[ARTIKEL BERKAITAN: Petisyen desak Moorthy letak jawatan cecah 120k]

[ARTIKEL BERKAITAN: Itu kisah lama, Moorthy]

Menurutnya, beliau juga tidak mahu adanya kempen atas talian bertujuan menyelamatkan jawatan menteri yang diberikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepadanya.

“Saya yakin rakyat Malaysia akan terus menyokong kerajaan PH yang menjanjikan Malaysia Baru selepas 61 tahun BN memerintah.

“Saya komited untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara yang dirahmati ini,” ujarnya.

Tiga hari lepas, satu petisyen mendesak Pengerusi Hindraf itu meletak jawatan dilancarkan dan berdasarkan pemerhatian Sinar Harian setakat jam 3.30 petang tadi, lebih 165,000 orang telah menandatangani petisyen berkenaan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dr Maza label Moorthy pengkhianat negara]

[ARTIKEL BERKAITAN: Bukan tak nak ‘back up’ Moorthy...]

[ARTIKEL BERKAITAN: Moorthy wajar disiasat: Timbalan Mufti]

Dua hari lepas pula, satu petisyen meminta Moorthy kekal menjawat jawatan tersebut dilancarkan dan sehingga jam 3.30 petang tadi, kira-kira 16,000 orang telah menandatangani petisyen tersebut.

Isu ICERD dibangkitkan Moorthy dan mendakwa bahawa kononnya rakyat Malaysia yang beragama Hindu telah didiskriminasi telah mewujudkan polemik tanpa henti sejak beberapa hari lepas sehingga beliau didesak melepaskan jawatannya.

Pemuda Umno antara yang lantang mendesak Moorthy melepaskan jawatan, malah Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut menggelar beliau sebagai pengkhianat negara.