ALOR SETAR - Meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) adalah melangkaui perundangan Islam, khususnya bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri.

Pengerusi Ummah Kedah, Noor Hakimi Ab Halim berkata, pihaknya menentang cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Wathy Moorthy yang turut disokong Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, kerana ia boleh menghancurkan jati diri umat Islam selain merosakkan pegangan agama Islam yang sebenar.

Menurutnya, ICERD merupakan agenda kuasa besar bawah telunjuk Zionis yang merupakan musuh Islam dan disokong golongan Islam Liberal, kononnya memperjuangkan hak asasi manusia.

“Usaha mendaulatkan ICERD di negara ini bertentangan dengan falsafah dan mencabar perkara-perkara termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kontrak sosial yang dipersetujui ketika proses kemerdekaan tanah air serta kedaulatan undang-undang Islam sedia ada,” katanya.

Noor Hakimi berkata, merujuk kepada Artikel ICERD perkara 5d(iv), (vi) dan (vii), iaitu melarang sebarang bentuk diskriminasi untuk kebebasan berkahwin silang agama dan bangsa, serta kebebasan keluar agama, dan hak terhadap perwarisan harta, ia jelas menggugat kedaulatan Perlembagaan dan kedudukan agama Islam.

“Jika berlaku kes murtad, hak Muslim berkahwin dengan bukan Islam (silang agama) tanpa menukar agama, hak sama rata dalam pembahagian harta pusaka, pastinya kes tersebut akan dirujuk bawah undang-undang sivil,” katanya.

Menurutnya, Ummah Kedah tidak boleh menerima sama sekali perjuangan membebaskan diskriminasi yang terkandung dalam ICERD kerana ia melibatkan soal akidah dan syariat agama Islam.

“Kami ingin mengingatkan kerajaan bahawa langkah tersebut merbahaya dan telah menimbulkan keresahan kalangan umat Islam dan Melayu di negara ini. Ia ibarat mencurah minyak dalam api, marak menyala dan sukar dikawal,” katanya.

Noor Hakimi berkata, sekiranya ICERD diterima, ia akan menjadi mala petaka buat umat Islam dan Melayu di negara ini.

“Orang Melayu dan Islam tidak akan berdiam diri apabila kedudukan agama Islam dan hak isttimewa yang dijamin dalam Perlembagaan digugat mana-mana pihak. Kita hendaklah bersatu membantah usaha meratifikasikan ICERD ini,” katanya.