PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen sedang dalam proses mewartakan i-kad sebagai pengenalan diri pelajar asing yang sah di institusi pendidikan tinggi (IPT) yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, dengan pewartaan ini, i-kad pelajar asing boleh digunakan sebagai pengenalan diri selaras dengan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, ia bagi membolehkan i-kad berperanan sebagai pengganti kepada pengenalan diri menggunakan pasport.

"Penggunaan i-kad adalah sebagai pengenalan diri pelajar asing, tetapi bukan sebagai ganti pengenalan diri yang mutlak kepada pasport," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga mahu semua agensi penguat kuasa undang-undang  menerima i-kad pelajar asing ini sebagai kad yang sah sebagai pengganti kepada pasport.

Mustafar berkata Jabatan Imigresen sedang memuktamadkan format i-kad untuk dimasukkan sebagai sebahagian kepada draf Peraturan-Peraturan Imigresen (Pindaan 2017) melalui Bahagian Hal-Ehwal Imigresen KDN.

"I-kad untuk pelajar asing ini akan diperkenalkan dengan format baharu dan ciri-ciri keselamatan yang telah dipertingkatkan bagi mengelakkan pemalsuan dan salahguna kad ini," katanya.

Menurutnya i-kad format baharu itu akan dilengkapkan dengan cip biometrik versi baharu dan nombor pengenalan diri kekal agar diiktiraf oleh semua agensi penguatkuasaan.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Kerajaan asing perlu menghormati usaha Malaysia dalam menahan dan menghantar pulang pendatang asing tanpa izin (Pati) menerusi operasi besar-besaran yang dikenali sebagai ‘Op Mega E-Kad’ di seluruh negara.
  • SHAH ALAM - Sudah tiba masanya untuk kerajaan Umno BN dan majikan tempatan untuk bekerjasama sepenuhnya bagi membasmi Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) di negara ini.
  • SHAH ALAM - Pembinaan dan pertanian antara dua sektor yang paling terkesan selepas kerajaan tidak melanjutkan tempoh permohonan Enforcement Card (E-Kad) pendatang asing tanpa izin (Pati) mulai 1 Julai lalu.
  • SHAH ALAM - PKR menghargai tindakan Jabatan Imigresen yang mengusir warga asing dan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang melakukan pelbagai kesalahan ke negara asal.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.