SERDANG - Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017 yang akan berlangsung pada 28 September hingga 1 Oktober ini bakal memperkenalkan satu program baharu iaitu Malaysia Food Festival.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, HPPNK 2017 bukan sahaja mengumpulkan tiga penyumbang utama makanan negara, tetapi ia lebih luas lagi dengan beberapa unsur lain.

“Bukan sahaja kita hargai apa yang dihasilkan dari ladang, laut dan tempat ternakan, tetapi juga sajian hidangan yang disajikan kepada kita.

“Sesuatu yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia ialah sajian kita yang pelbagai.

“Kalau kita ke Rusia, Jepun dan negara lain hanya hidangan tertentu tetapi kepelbagaian makanan dapat kita saksikan berdasarkan kaum di negara kita yang berbeza dan ia perlu dikembangkan,” katanya pada sidang media berkaitan HPPNK 2017 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang, semalam.

Beliau berkata, bidang kulinari perlu diberikan pengkhususan kerana sehingga sekarang tidak ada satu kementerian khusus yang melihat ia sebagai satu disiplin.

“Saya harap pada suatu masa akan ada jabatan kulinari untuk bangunkan tukang-tukang masak dan wujudkan masakan baharu kerana pada masa ini, ia dibuat atas inisiatif individu.

“Bagi HPPNK kali ini, kita lihat perkara ini secara serius untuk bangunkan aspek kulinari sebagai satu kekuatan kepada Malaysia. Disiplin ini perlu dibangunkan dan kita gembira diberikan kesempatan dalam bidang agro makanan ini,” katanya.

Bertemakan 'Our Food, Our Future', beliau berkata, HPPNK 2017 akan berlangsung selama empat hari di Maeps Serdang dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ia akan melibatkan kawasan seluas 80,000 meter persegi merangkumi 600 reruai pameran dan jualan, di mana kesemuanya telah habis ditempah.

“Kementerian meletakkan sasaran kehadiran pengunjung seramai 500,000 orang sepanjang ia berlangsung dan jualan sebanyak RM30 juta,” katanya.

Menurutnya, sektor swasta dan organisasi dalam industri tidak mahu melepaskan peluang untuk terlibat dalam program berkenaan.

“Setakat ini jumlah tajaan sebanyak RM3.1 juta telah diterima, antaranya daripada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Agrobank, Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Mepl, Nestle Malaysia dan Asia Tank.

“Kita masih membuka peluang kepada mana-mana pihak yang mahu menjadi rakan strategik kita,” katanya.

Menurutnya, HPPNK 2017 adalah festival makanan dan pertanian terbesar Malaysia,  boleh diibaratkan sebagai mini Maha.

“Gerai dan food truck di Empayar Makanan menyajikan 401 menu makanan dalam empat kategori iaitu #Nostalgicfood, #HipsterFood, #viraliciousFood dan #foodgasm,” ujarnya.

Katanya, pada dua hari terakhir iaitu Sabtu dan Ahad, Dewan D Maeps akan menjadi sebuah restoran besar bagi bagi program Food Feast.

“Kita akan beri pengalaman jamuan dengan empat cara berbeza di Food Feast iaitu hidangan ikan sungai termahal, makanan ala-ala kampung, makanan laut lambak dan dining ala barat.

“Meja boleh dikatakan telah penuh ditempah, kebanyakannya oleh pelancong asing dari  Hong Kong, China dan Jepun," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Sebanyak RM9.3 juta diperuntukkan sebagai bantuan penanaman semula kepada pesawah yang terjejas akibat banjir di Pulau Pinang dan Kedah, umum Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
  • SERDANG - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berazam mengubah minda masyarakat tentang bidang pertanian yang sering digambarkan sebagai 'milik orang miskin' dan tidak mampu menjana kekayaan.
  • SERDANG - Kesedaran mengenai kepentingan penggunaan teknologi dan pengurusan data dalam industri pertanian dalam kalangan pengamal pertanian negara kini hanya pada tahap 20 peratus, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
  • SERDANG - Memasuki hari ketiga semalam, jumlah pengunjung Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017 telah melebihi 350,000 orang.
  • SERDANG - Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2017 (HPPNK 2017) yang bermula esok akan menampilkan suasana santai yang mesra pengunjung terutamanya buat mereka yang datang bersama keluarga.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.