KUALA LUMPUR - Segala perkara yang termaktub dalam Perlembagaan perlu dipatuhi rakyat negara ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan) berkata ada suara-suara sumbang mempertikaikan kewujudan institusi agama seperti Jakim.

"Prinsip undang-undang harus dihormati semua. Dalam hal ini menjunjung institusi raja-raja sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan, harus dikekalkan dan kami tidak minta lebih daripada apa yang termaktub dalam Perlembagaan.

"Kedudukan agama Islam sebagaimana yang tercatat dalam Perkara 3 (1) harus dipertahankan. Bukannya semacam ada suara-suara sumbang untuk melihat Jakim, institusi lain dari segi keagamaan...mana boleh menyamaratakan agama," katanya ketika memberi ucapan membahaskan ucapan Yang Dipertuan Agong, hari ini.

Beliau turut membangkitkan persoalan berkaitan kedudukan agama dan Bahasa Melayu di negara ini.

"Bagaimana hak keistimewaan orang-orang Melayu? Bukan sekadar kontrak sosial. Bagaimana kedudukan Bahasa Melayu? Adakah dianggap sebagai rasis jika perkara-perkara itu dibangkitkan?

" Adakah kita dianggap mengetepikan bahasa lain kalau mempertahankan kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan? Adakah dianggap teroris jika kita mempertahankan agama Islam?," tanyanya.

Dalam pada itu, Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) sempat mencelah berhubung isu institusi Diraja.

"Beberapa institusi dalam masyarakat kita sblm ini dihormati seperti institusi raja-raja tapi akhir-akhir ini nampak suara-suara kurang bijak dan kurang sopan atau biadap.

"Mencabar atau menyentuh serta memfitnah. Adakah Bagan setuju, berikan penekanan sikap ketimuran kepada rakyat supaya wujudkan keharmonian?," katanya.