SUNGAI PETANI - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dijangka akan bertolak  Arab Saudi, esok (20 Januari), untuk menghadiri satu mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Arab Saudi, bagi membincangkan mengenai serangan daripada Yemen ke negara berkenaan, baru-baru ini.

Menurut beliau, mesyuarat tergempar yang disertai negara-negara anggota OIC itu akan diadakan di Jeddah sebelum memikirkan mengenai masa depan Yemen pula.

"Dalam kedua-dua perkara, pendirian Malaysia amat jelas. Apa jua keadaan di mana kedudukan dua kota suci Makkah dan Madinah terancam, kita akan bersama Arab Saudi.

"Keduanya mengenai kedudukan Yemen, kita tidak hantar tentera kita berperang di bumi Yemen. Tetapi sekiranya ada usaha untuk membantu dari segi bantuan kemanusiaan atau membina semula Yemen, kita akan bantu melalui ATM (Angkatan Tentera Malaysia),” katanya, di sini, pada sidang media selepas melancarkan jentera BN Kedah di sini, petang tadi.

Justeru, Hishammuddin berharap tiada pihak yang cuba memutar-belit kehadiran beliau ke mesyuarat tergempar itu.

"Saya sudah jawab di Dewan Rakyat sebelum ini tentang pendirian Malaysia dalam kedua-dua perkara ini. Ahad dan Isnin ini (iaitu 21 dan 22 Januari), saya akan berada di Jeddah dan Riyadh untuk mewakili negara kita," katanya.