LUMUT - Maal Hijrah hendaklah disambut dengan hasrat mahu menghidupkan kembali tiga prinsip utama yang telah berperanan penting membangunkan pemerintahan gemilang negara Islam di Madinah. 

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, tiga prinsip itu adalah penerapan jiwa merdeka, budaya syura dan semangat jihad sama ada dalam diri mahupun organisasi.

Menurut baginda, Islam tidak akan berkembang jika ummahnya berjiwa hamba dan berpandangan jumud sebaliknya, perlu saling mengamalkan budaya perundingan dan konsultasi yang digalakkan dalam kalangan ummah; bersedia menerima kritikan dan memberikan perhatian serta pertimbangan kepada pelbagai pendapat meskipun berlainan budaya.

“Semangat jihad telah memperlengkapkan kekuatan dalam diri individu dan pemerintahan.  Kekuatan dalaman membendung keinginan nafsu keberahian dan kekuatan mengawal perasaan tamak haloba untuk memiliki kuasa dan kekayaan adalah jihad yang lebih diutamakan sementara jihad untuk menghadapi dan menewaskan musuh apabila mengancam keselamatan dan kehidupan ummah.

“Selain daripada rasa cinta kepada ILAHI, berakarkan iman dan takwa yang kukuh, negara Islam di Madinah telah dibangunkan berteraskan tiga prinsip utama ini, ia juga dibangunkan dengan semangat kesetiaan, rasa kasih dan cinta dengan keringat dan penat jerih, bukan bertujuan untuk imbuhan kebendaan, tetapi atas gagasan iman dan takwa; amal dan ibadah yang dilakukan semata-mata atas nama ALLAH,” kata baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Perak Tahun 1439 Hijrah/2017 Masihi di Dewan Shariff Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, hari ini.

Dalam titahnya, baginda turut mengajak umat Islam mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah Mekah ke Madinah yang mana, dalam memenuhi sesuatu misi, manusia perlu bersedia mencari formula baharu untuk mengatasi halangan dan tentangan.