SHAH ALAM - Kes buli siber melibatkan cucu kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad zahid Hamidi perlu dihentikan segera,” demikian tegas Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau turut memandang serius perkembangan terbaru melibatkan kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun itu.

“Saya memandang serius perkembangan terbaru melibatkan cucu Ahmad Zahid yang dicemuh dan dilemparkan kata-kata kesat di media sosial.

"Ini adalah satu bentuk ‘cyberbullying’ dan harus dihentikan serta-merta,” katanya menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, beliau berkata, mengikuti perkembangan kes melibatkan Ahmad Zahid dan percaya ia akan dibicarakan dengan adil berlandaskan lunas undang-undang negara.

Katanya, segala bentuk penyelewengan dan salahguna kuasa haruslah dibicarakan dan diambil tindakan sewajarnya

“Semua pihak harus biarkan proses undang-undang dilaksanakan dengan tertib. ‘Let the law takes its course’. Kerajaan PH komited pertahankan martabat undang-undang negara serta membicarakan mereka yang menyalahguna kuasa berlandaskan prinsip ‘rule of law’,” katanya.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Hannah Yeoh menerusi akaun Twitter miliknya berkata, ibu bapa harus melindungi anak mereka di internet.

"Ibu bapa harus melindungi anak-anak mereka dan tidak membenarkan video mereka disebarkan di internet," katanya dipercayai merujuk kepada tindakan Nurul Hidayah, anak perempuan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ia dikatakan berkaitan penyebaran video anaknya yang 'memberi amaran' di Instagram.

Dalam video itu, kanak-kanak berumur sembilan tahun itu berkata: "Saya akan buat hidup kamu tak stabil, saya akan buat kamu menyesal seumur hidup".

Hannah Yeoh menerusi satu lagi hantaran di akaun Twitter miliknya meminta semua pihak berhenti menyebarkan video kanak-kanak tersebut.

Katanya, kanak-kanak terlalu muda untuk memahami apa yang berlaku.

“Orang dewasa sepatutnya lebih tahu dan tidak manipulasi perasaannya. Kanak-kanak adalah tidak bersalah,” katanya.