KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik hari ini menafikan beliau mengeluarkan kenyataan bahawa hasil jualan kasut hitam pelajar sekolah akan disalurkan kepada Tabung Harapan Negara.

Merujuk kepada sebuah poster yang tersebar di laman sosial, beliau berkata: “Ada pihak tidak bertanggungjawab telah menyebar poster ini dan saya ingin menegaskan bahawa kenyataan ini adalah fitnah.

“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan sebegini dan rakyat Malaysia boleh melihat kembali rakaman program Bicara Minda di Sinar Online,” katanya dalam catatan di laman Twitter hari ini.

Dalam poster yang memaparkan keratan berita sebuah portal dalam talian itu, Maszlee didakwa berkata kasut hitam murid sekolah hendaklah dibeli daripada jenama yang disyorkan kerajaan dengan 10 peratus daripada hasil jualan disumbangkan ke tabung itu bagi membantu mengurangkan beban hutang negara.

Semalam, Maszlee dalam program Bicara Minda Bersama Menteri Pendidikan berkata kementerian akan membenarkan semua pelajar sekolah dan menengah untuk memakai kasut berwarna hitam mulai sesi persekolahan tahun depan. - Bernama