IPOH - Di sebalik penganugerahan Tokoh Ulama Sepanjang Zaman diberikan kepadanya baru-baru ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengakui tertekan dengan pengiktirafan tersebut.

Katanya, sejak diisytiharkan sebagai Tokoh Ulama Sepanjang Zaman tempoh hari, sehingga beliau masih risau dan takut kerana gelaran atau anugerah diberikan itu sangat berat.

Harussani berkata, beliau berasa tidak layak digelar sebagai ulama kerana kriteria itu tiada dalam dirinya dan masih keliru bagaimana boleh diberikan anugerah tersebut.

"Dari segi (gelaran) ulama, yang ini saya hairan kerana saya tidak menulis kitab, tak mengarang kitab ini dan artikel pun jarang. Saya tak tahu bagaimana sehingga diberikan anugerah ini dan merupakan satu tekanan kepada jiwa saya hingga saya jadi penakut.

"Sejak diisytiharkan sebagai tokoh ulama sepanjang zaman, saya rasa menggeletar sampai hari ini. Kalau di rumah kadang kala saya menangis mengenangkan apakah ini satu ujian?" katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Tausiyah, sempena Majlis Mahabbah dan Dialog Pertubuhan Bukan Kerajaan Bersama Mufti Kerajaan Negeri Perak Sempena Penganugerahan Tokoh Ulama Sepanjang Zaman anjuran Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk), di Pusat Konvensyen Amanjaya, Bandar Meru Raya, di sini malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim; Pengarah Jaipk, Datuk Mohd Yusop Husin dan Timbalan Pengarah Jaipk, Harith Fadzilah Abd Halim.

Pada 3 Ogos lalu, Harussani menerima Anugerah Khas Tokoh Ulama Sepanjang Zaman sempena Majlis Perdana Ulama Umara dan NGO Islam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Anugerah itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas peranan beliau dalam menyemarakkan syiar Islam di negara ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :