KUALA LUMPUR - Kerajaan memang tidak menjamin pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan menurunkan harga rumah di negara ini.

Namun menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, sekurang-kurangnya kerajaan hari ini berusaha untuk mewujudkan suasana penurunan harga rumah.

"Sektor pembinaan telah dinyatakan ia dikecualikan cukai. Kalau sebelum ini, semua dikenakan cukai tapi sekarang dikecualikan. Tentu ada yang kata belum tentu lagi harga rumah akan turun.

"Tapi sekurang-kurangnya kerajaan telah berusaha seberapa yang boleh untuk mewujudkan suasana supaya harga rumah boleh turun," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan 2018 di Dewan Negara, hari ini.

Menurut Guan Eng, usaha kerajaan itu setidaknya menghalang kenaikan harga secara mendadak.

"Kita harap industri pembinaan akan dapat manfaat dan pengguna pun boleh dinikmati. Sama ada ia berlaku atau tidak, sekurang-kurangnya kita telah berusaha.

"Untuk masa depan kita jangka akan melihat suatu perkembangan yang baik. Sekurang-kurangnya kita menghalang harga itu naik secara mendadak," katanya.