SHAH ALAM - Pengumuman bahawa perkhidmatan pembinaan dikecualikan daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mampu menurunkan harga jualan rumah di negara ini.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF), Tukiman Radion berkata, namun pada masa sama, kerajaan perlu membuat pengawalan dengan meletakkan nilai sesebuah rumah yang dijual oleh pemaju.

“Penurunan harga rumah akan berlaku dengan pengecualian SST ini.

“Tapi kerajaan perlu mengawal dengan meletakkan nilai sebuah rumah itu berdasarkan keluasan atau kawasan dan sebagainya supaya pemaju tidak boleh sewenang-wenangnya menjual dengan harga yang lebih tinggi,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: SST: Kerajaan mahu lihat perubahan harga rumah]

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebelum ini pemaju menjual rumah dengan harga yang lebih tinggi dengan alasan bahawa rakyat mampu untuk membeli tapi ia tidak mencerminkan keadaan yang sebenar.

“Pembelian rumah hanya berlaku di kalangan mereka yang mampu dan menjadikannya sebagai satu pelaburan di mana selepas pembelian, mereka akan menjualnya semula dengan harga yang lebih tinggi.

“Situasi ini menyebabkan harga rumah semakin tinggi, padahal golongan yang benar-benar memerlukan tidak mampu untuk memiliki rumah,” katanya.

Katanya, situasi itu berlaku disebabkan tiada pengawalan daripada kerajaan terdahulu.

“Saya yakin bahawa harga rumah akan turun selepas pengumuman pengecualian SST tapi jika tidak ada pemantauan atau pengawalan kerajaan mengenai harga rumah, maka situasi sama akan berlaku.

“Ini bermakna pengecualian SST itu tidak akan memberi kesan kepada harga penjualan rumah,” katanya.