KUALA LUMPUR - Harga rumah dijangka tidak turun atau mungkin masih kekal kadar lama walaupun perkhidmatan pembinaan dikecualikan daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSN Group of Companies (MSN), Masnawi Ariffin berkata, ini kerana harga rumah ditentukan banyak faktor lain, bukan sahaja bahan binaan tetapi juga melibatkan nilai tanah semasa mengikut lokasi, selain kos-kos autoriti.

Selain itu katanya, pemaju terpaksa menanggung kos melibatkan lebih 40 jenis yuran yang dibayar kepada agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam proses untuk membangunkan satu projek perumahan.

"Perkara inilah yang akan menyebabkan harga rumah tinggi. Untuk kos pembinaan, bagi saya sebenarnya ia stabil. Masa kenakan GST , pemaju boleh tuntut balik, sekarang tanpa SST harga akan kekal, tetapi pemaju tidak akan turunkan harga rumah.

"Cuma mungkin harga rumah akan kekal. Saya sudah 19 tahun dalam industri dan banyak kali alami pelbagai situasi seperti ini," katanya.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan mahu melihat lebih banyak respons positif penggiat industri perumahan, susulan pengumuman perkhidmatan pembinaan dikecualikan SST.

Pengarah yang juga Pengarah Jualan Bandacaya Group, Raja Umar Raja Ali juga senada dengan Masnawi dengan mengatakan, sekiranya harga rumah turun, ia hanya melibatkan rumah jenis apartmen.

Menurutnya, cukai bukanlah penyebab kenaikan harga rumah, sebaliknya berpunca daripada tiadanya pemantauan dari segi penilaian bagi setiap kaki persegi tanah dan binaan.

"Harga rumah boleh dikawal dari segi itu, di mana juru nilai atau penilai kerajaan yang menilai perlu melihat apabila pemaju memohon lesen pemaju atau mendapatkan Permit Import (AP). Mereka kena pastikan harga kaki perseginya standard," katanya.