KUALA LUMPUR - Kerajaan  tidak akan menaikkan harga petrol buat masa ini meskipun harga minyak mentah dunia setakat ini meningkat lebih daripada AS$70 setong, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet pertama di bangunan Perdana Putra, Putrajaya, di sini, hari ini.

Berikutan pengumuman itu, harga petrol RON95, RON97 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.20 seliter, RM2.47 seliter dan RM2.18 seliter sejak lebih sebulan lalu.

Dr Mahathir berkata, Pakatan Harapan melalui manifesto sebelum ini berjanji akan menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar.

“Dasar kami adalah untuk tidak membuat perubahan harga mingguan mengikut pasaran,” katanya.

Sementara itu, berkenaan GST, Dr Mahathir berkata, kadarnya akan dijadikan sifar tidak lewat daripada 1 Jun, 2018.

Manakala, SST yang dimansuhkan pada 1 April 2015 lalu akan dikembalikan semula untuk menggantikan GST.

Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan, tindakan mengembalikan semula SST ini perlu dilakukan berikutan pengurangan hasil daripada kutipan GST setelah kadarnya disifarkan.

Langkah ini juga sejajar dengan program pembaharuan fiskal yang dilaksanakan kerajaan sekarang, kata kementerian itu. - Bernama