KUALA LUMPUR - Penentuan harga runcit petrol dan diesel kekal dibuat secara mingguan dengan kerajaan tidak bercadang mengembalikan penentuan harga bahan api itu secara bulanan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata penentuan harga secara mingguan merupakan mekanisme terbaik kerana harga minyak benar-benar ditentukan mengikut harga pasaran dunia.

"...(penentuan secara mingguan) itulah mekanisme paling baik, kerana harganya benar-benar kita letakkan seperti harga pasaran dunia, tiada cara lain lagi. Mekanisme ini juga menentukan bahawa keadilan pengguna dan juga peniaga dalam industri ini diberikan," katanya ketika menggulung Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Harga dan Antipencatutan (Pindaan) 2017 pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

RUU yang bertujuan menggalakkan ketelusan dalam pempameranan, pengiklanan atau sebutan harga atau caj ini diluluskan Dewan Rakyat hari ini selepas mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Negara menerusi undian suara.

Hamzah berkata pindaan RUU ini membolehkan kerajaan melaksanakan Dasar Harga Terangkum (DHT) bagi memastikan pengguna tidak dikelirukan atau dimanipulasi oleh peniaga termasuk peniaga dalam talian.

Hamzah juga berkata Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 akan dilancarkan bagi meneruskan konsep membantu mengatasi masalah kos hidup rakyat dengan menawarkan produk lebih murah daripada harga pasaran.

"Ini saya setuju...ia untuk kebaikan pengguna tetapi apabila diberikan kepada satu pengusaha, ia tidak dapat benar-benar mengikuti keperluan rakyat supaya harga itu lebih murah jualannya dari tempat lain.

"Kita telah bincang dan kita akan lantik pengendali untuk KR1M 2.0 demi membantu rakyat dari segi konsep menangani kos kehidupan," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan KPDNKK menamatkan segera kontrak syarikat mengendalikan KR1M yang menjual produk jauh lebih tinggi daripada harga pasaran.

Sementara itu, Dewan Negara turut meluluskan RUU Akta Perihal Dagangan (Pindaan) 2017 bagi meminda Akta Perihal Dagangan 2011 yang antara lainnya bertujuan menghendaki orang berdaftar di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 mematuhi garis panduan yang dikeluarkan berhubung pempameran harga.  - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.