KUALA LUMPUR - Penggunaan sisa plastik yang tidak boleh dikitar semula dengan baik dan tidak mengikut undang-undang yang ditetapkan akan diharamkan.

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata, ini termasuklah sisa bercampur dengan barangan lain yang tidak diasingkan terlebih dahulu.

“Sisa plastik yang menjadi punca pencemaran negara kita akan diharamkan. Contoh sisa plastik boleh sebati dan bersih ini sesuai untuk dikitar semula tetapi ada sisa plastik bercampur.

"Yang ini susah untuk dikitar semula, biasanya kilang-kilang haram mengunakan plastik bercampur untuk kitar semula. Saya akan memastikan setiap sisa plastik yang tidak boleh dikitar semula dengan baik dan mengikuti undang-undang Akta Alam Sekitar akan diharamkan di Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (Pas - Rantau Panjang) yang meminta pihak kementerian menjelaskan langkah kerajaan mengurangkan pencemaran plastik dan cadangan kerajaan untuk mengharamkan pengimportan sisa pepejal daripada luar negara.

Menurut Bee Yin, kerajaan juga dalam proses mengambil tindakan tegas terhadap kilang-kilang pemprosesan sisa pepejal secara haram termasuklah menyita premis terlibat.