KUALA LUMPUR - Isu penghapusan tol seperti dijanjikan dalam manifesto PH sekali lagi dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini.

Kali ini, Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) dalam soalan tambahannya di sesi pertanyaan menteri bertanya sama ada rakyat boleh berhenti bermimpi untuk negara memiliki lebuhraya tanpa tol.

Ini berikutan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini bahawa pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan.

Menjawab soalan Ahmad Fadhli, Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, dasar kerajaan jelas iaitu tidak akan menghapuskan tol sehingga keadaan kewangan negara stabil.

"Soalan dibangkitkan adakah rakyat Malaysia bermimpi, itu terpulang kepada rakyat. Tetapi dasar kerajaan kini jelas takkan hapuskan tol hingga keadaan kewangan negara dipulihkan," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mahathir tidak setuju ikrar hapus tol]

Terdahulu, menjawab soalan tambahan Muslimin Yahaya (PH-Sungai Besar) yang ingin tahu usaha kementerian memastikan tiada tol baharu, Baru mengulangi pendirian kerajaan bahawa tol tidak akan dihapuskan sehingga keadaan kewangan negara dipulihkan sepenuhnya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan mencari alternatif lain untuk mengurangkan beban pengguna lebuhraya.

"Ia seperti merendahkan kadar tol, mungkin ada flat rate atau diskaun ketika luar waktu puncak dan tidak menaikkan tol dalam dua atau tiga tahun.

 

"Ini masih dalam perbincangan. Seperti diumumkan sebelum ini, tiada lebuhraya bertol sehingga kewangan negara stabil," katanya.