MARAN - Masih ramai individu yang menjalankan perkhidmatan menjaga kanak-kanak di rumah di negara ini dikesan gagal mendaftarkan perkhidmatan mereka sebagai  taman asuhan kanak-kanak (taska) kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata setakat ini, hanya 736 taska rumah termasuk 52 buah di Pahang yang berdaftar dengan JKM, sedangkan jumlah itu dipercayai jauh lebih tinggi.

“Mereka yang menjalankan perkhidmatan menjaga kanak-kanak termasuk kurang daripada 10 orang sepatutnya wajib mendaftar dan mereka yang gagal melakukannya boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Taska 1984 (Akta 308) iaitu didenda sebanyak RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

“JKM sendiri pernah menjalankan program pemutihan pada 2014 dan ia berterusan, namun bilangannya (tidak berdaftar) semakin bertambah sedangkan banyak insentif yang mereka peroleh jika tampil berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas kejadian seorang bayi berusia 13 bulan yang meninggal dunia semasa berada di bawah jagaan pengasuhnya baru-baru ini, selepas menghadiri  Majlis Konvokesyen Program Empower ECER Maran di sini hari ini.

Rabu lepas, bayi berkenaan, Ahnaf Hanafi Mohd Haniff meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam buaian di rumah pengasuhnya di Indera Mahkota 15, Kuantan sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2.30 petang.

Ahnaf Hanafi dihantar ibu bapanya, Rushidah Abdullah, 30, dan Mohd Haniff Selaman @ Sulaiman, 28, ke rumah pengasuh pada 8.10 pagi sebelum pengasuh dikenali sebagai Alya menghubungi mereka pukul 2.30 petang memberitahu bayi itu berada di klinik kesihatan serta tidak sedarkan diri.

Siasatan JKM mendapati pengasuh berkenaan tidak berdaftar dengan JKM seperti diwajibkan dan dia menjaga empat kanak-kanak termasuk Ahnaf Hanafi.

Mengulas lanjut tentang perkara itu, Rohani berkata pemilik taska rumah yang berdaftar dengan JKM akan diberikan pendedahan tentang Prosedur Operasi Standard (SOP) taska yang akan melindungi mereka daripada sebarang kejadian tidak diingini selain diberikan kursus tentang cara jagaan sebenar.

“Kalau mengikut SOP, pengasuh berhak untuk menolak menjaga bayi atau kanak-kanak yang dihantar oleh ibu bapa jika kurang sihat dan ini akan melindungi mereka (pengasuh) daripada masalah yang tidak dijangka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai pengusaha taska rumah akan berbuat demikian dalam masa terdekat selain menyeru ibu bapa supaya memeriksa terlebih dahulu dengan JKM sebelum menghantar anak mereka untuk dijaga di mana-mana taska rumah. – Bernama