BAGAN SERAI - Penglibatan golongan belia dalam bidang koperasi di negara ini berada pada tahap amat membimbangkan apabila hanya 13 peratus sahaja terbabit secara aktif pada ketika ini.

Ketua Pengarah Maktab Koperasi Malaysia(MKM), Prof Madya Datuk Dr Abdul Rahman Shaik berkata, kebimbangan itu disuarakan pihaknya berdasarkan indikator melibatkan pengumpulan 9,700 ahli lembaga koperasi yang mengikuti kursus maktab itu, baru-baru ini.

Menurutnya, hasil kajian indikator itu mendapati hanya 13 peratus daripada peserta kursus melibatkan golongan belia, sekaligus menunjukkan tahap kesedaran kepentingan koperasi dalam kalangan mereka amat rendah.

"Selain itu, MKM juga mengenal pasti perbezaan jurang angka penubuhan koperasi terlalu jauh antara koperasi peringkat sekolah dengan koperasi peringkat institusi pengajian tinggi(IPT) serta belia.

"Berdasarkan angka statistik semasa, jumlah koperasi sekolah didaftarkan adalah sebanyak 2,900 berbanding jumlah koperasi belia hanya sebanyak 550 sahaja.

"Daripada jumlah 550 koperasi belia, hanya 236 daripadanya merupakan koperasi ditubuhkan di peringkat institusi pengajian tinggi awam dan swasta,"katanya kepada media selepas perasmian Program Lestari Modal Insan Koperasi di Dewan Komuniti Bagan Serai, di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat.

Dr Abdul Rahman berkata, sebagai langkah meningkatkan kesedaran golongan belia, MKM mengesyorkan satu bentuk pendekatan bagi mewujudkan satu mekanisme memastikan kesemua ahli koperasi sekolah meneruskan kesinambungan subjek itu di peringkat universiti.

Berikutan itu, MKM bakal memperkenalkan subjek koperasi di peringkat IPT bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan golongan belia mengenai kepentingan penubuhannya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :