KUALA LUMPUR - Semakan separuh penggal kedudukan ekonomi akan dibentangkan pada September, antara lain bagi menyediakan arah tuju baharu ekonomi, selari manifesto Pakatan Harapan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, kementerian itu dan Unit Perancang Ekonomi sedang menyiapkan semakan itu.

"Untuk itu, kali ini semakan separuh penggal agak berbeza, bukan hanya untuk melihat kejayaan Rancangan Malaysia ke-11, malah menetapkan sasaran berasaskan janji Pakatan Harapan," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama masyarakat Gombak, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai pengalaman seminggunya sebagai Menteri Pusat, Menteri Besar Selangor itu berkata, beliau mengisi masanya mendengar taklimat dan maklum balas daripada EPU (Unit Perancang Ekonomi) mengenai pembangunan sosioekonomi negara.

Ditanya mengenai kemungkinan harga barangan akan meningkat semasa tempoh peralihan antara GST dan SST, Mohamed Azmin yakin kementerian berkaitan sedang memantau keadaan di akar umbi untuk memastikan perniagaan tidak mengambil kesempatan ke atas tempoh peralihan ini.

"Punca utama Pakatan Harapan dipilih sebagai kerajaan pusat adalah untuk memastikan kos sara hidup kekal rendah.

"Kami tidak mahu hanya membuat pengumuman, namun lebih penting tindakan penguatkuasaan dilakukan bagi memastikan pihak tidak bertanggungjawab tidak mengambil kesempatan untuk menetapkan harga sesuka hati mereka,” katanya. - Bernama