PUTRAJAYA - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar mana- mana pihak yang melemparkan tuduhan kononnya beliau menyekat 'perjalanan' Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke lapan, tampil mengemukakan bukti.

Menurutnya, beliau tidak pernah mencampuri urusan parti lain.

"Tuduhan yang bagus. Mereka kena buktikan.

"Saya tidak pernah bercakap dengan sesiapa mengenai hal ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di sini hari ini.

Sabtu lalu, Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani dalam siri jelajah "Debat Reformasi 20 Tahun" di Negeri Sembilan mendakwa Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin sebagai antara individu yang berusaha menyekat Anwar.

"Ya, kita tahu mereka bersekongkol dengan yang menzalimi Anwar. Saya sebut terang-terang Tun Daim Zainuddin," katanya.