•  Hadi mahu siaran langsung TV, bukan rakaman Abdul Hadi menyarung jaket keselamatan untuk menaiki bot meredah banjir bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di bahagian Dun Air Putih.
1 /

KEMAMAN – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersedia untuk berdialog dan menjawab apa juga soalan yang dikemukakan semasa beliau menjelaskan mengenai isu Amanat Haji Hadi menerusi televisyen.

Sehubungan itu jelas beliau, penjelasan itu harus disiarkan secara langsung di RTM atau TV3 dan bukan dalam bentuk rakaman.

“Terpulang pada kerajaan bila mahu diadakan (sesi penjelasan) tetapi dengan syarat ia perlu disiarkan secara langsung selama sejam, saya tidak mahu rakaman sebab ia boleh ditipu (diedit).

“Dalam soal ini, mestilah jujur, mesti ikhlas untuk cari kebenaran. Kalau diadakan dialog semasa penjelasan itu dilakukan pun boleh,” kata beliau mengulas mengenai kesediaan RTM untuk menyiarkan penjelasannya mengenai isu yang sedang hangat diperkatakan itu.

Kelmarin, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, pihaknya tiada masalah untuk menyiarkan penjelasan Abdul Hadi, namun ia boleh dibuat secara rakaman dan bergantung kepada pertimbangan RTM sama ada ia sesuai dijadikan bahan berita atau sebaliknya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang ini berkata, jika menteri bersetuju dengan permohonannya itu tidak perlu lagi pihaknya menulis surat rasmi kerana permintaannya itu disiarkan media.

“Hal itu (permintaan bersiaran) media dah siar jadi tak perlu lagi buat surat rasmi, dia (kerajaan) buka peluang, jadi saya akan pergi,” katanya ketika di temui di Surau Kampung Jaya sebelum melawat dan menyampaikan bantuan kepada lebih 1,000 mangsa banjir di Dun Air Putih dan Dun Chukai di sini, hari ini.


* Dapatkan laporan lanjut dalam Sinar Harian esok