PUTRAJAYA - Penyakit selsema burung H5N1 yang dilaporkan di sekitar Kampung Pulau Tebu, Tunjong, Kota Bharu di Kelantan hanya terhad kepada ternakan ayam kampung sahaja dan bukannya ayam komersial.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata 70 peratus ayam daging di Kelantan dibawa masuk dari negeri yang bebas penyakit.

Menurutnya, baki 30 peratus bekalan dalaman pula diternak di ladang yang berada lebih 24 kilometer dari tempat kejadian.

"Ini bermakna ia selamat untuk dimakan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 118 warga kementeriannya di Wisma Tani di sini hari ini.

Bagi bekalan telur pula, katanya, 100 peratus bekalannya dibawa masuk dari luar Kelantan dan selamat dimakan.

Ahmad Shabery berkata penyakit H5N1 itu berjaya dikawal daripada merebak di luar zon pemantauan dalam radius 15 kilometer di jajahan Kota Bharu.

Beliau berkata sebanyak 2,438 unggas dan 860 telur sudah dimusnahkan dalam operasi kawalan dan pembasmian 24 jam yang dijalankan sejak 5 Mac lepas, melibatkan 184 petugas Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Turut membantu operasi itu ialah Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Majlis Perbandaran Kota Bharu, Majlis Daerah Ketereh, Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu dan Pejabat Tanah dan Galian Kelantan.

Ahmad Shabery turut tidak menolak kemungkinan jangkitan H5N1 yang berlaku di Kota Bharu itu berpunca dari luar memandangkan kawasan tersebut tidak jauh dari sempadan negara.

"Oleh itu penternak perlu lebih berhati-hati kalau mendapatkan ayam dari negara yang mempunyai rekod selsema burung. Ia kena lalui proses kuarantin yang ketat. Jangan ambil mudah proses kuarantin," katanya.

JPV turut berhubung dengan negara pengimport ayam dan telur dari Malaysia seperti Jepun, Brunei, Hong Kong, Indonesia, Iraq, Macau, Myanmar, Hong Kong, Maldives, Arab Saudi dan Timor Leste untuk menjelaskan situasi sebenar, katanya. 

"Langkah ini adalah bagi memastikan situasi ini tidak menjejaskan perdagangan negara dan memberi persepsi negatif kepada Malaysia," katanya. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) membayar pampasan sebanyak RM413,004.60 kepada 1,034 penternak yang unggas mereka terjejas dengan wabak H5N1 atau selesema burung di Kelantan baru-baru ini.
  • PUTRAJAYA - Malaysia diisytiharkan bebas daripada selesema burung atau Highly Pathogenic Avian Influenza (HPAI) H5N1 mulai Sabtu lepas.
  • PASIR PUTEH - Kerajaan akan memohon kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengisytiharkan negara ini bebas daripada penyakit selesema burung H5N1 dalam tempoh sembilan hari lagi sekiranya tiada kes baharu H5N1 dikesan.
  • PUTRAJAYA - "Kerja-kerja pemantauan, sekatan jalan raya dan pengambilan sampel bagi memastikan tidak ada lagi kes H5N1 atau selesema burung dalam kalangan unggas di Kelantan kini memasuki hari ke-49 dan akan diteruskan sehingga 90 hari, kata Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (Kesihatan Veterinar) Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.
  • KUALA LUMPUR - Penyakit selesema burung di Kelantan sedang dikawal dalam lingkungan radius 30 kilometer dari Kampung Pulau Tebu, Tunjong melibatkan enam jajahan di negeri itu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.